Ridzokumura percaya isteri mungkin terjatuh ketika kemas rumah, dedah kronologi kejadian

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridzokumura akhirnya mengambil keputusan membuka mulut untuk menepis segala spekulasi berhubung pemergian isterinya iaitu Akiko Okumura pada Jumaat lalu.

Pemilik nama sebenar Ridzuan Abdul Mutalib itu juga berharap orang ramai akan berhenti membuat andaian yang bukan-bukan mengenai kematian isterinya selepas penjelasan dilakukan dalam satu sesi siaran langsung.

Menurut usahawan berusia 50 tahun itu, sudah menjadi kebiasaan buat arwah Akiko atau nama Islamnya, Nur Aishah Abdullah untuk mengemas kediaman mereka terutamanya bagi menyambut bulan Ramadan.

Oleh yang demikian, Ridzokumura percaya bahawa Akiko mungkin terjatuh daripada tingkat empat kondominium didiami mereka ketika sedang mengemas rumah sehari sebelum bulan puasa tiba.

“Isteri abang ini sebelum berpuasa, dia mesti nak kemas itu, kemas ini. Semua dia nak kemaskan. Abang tak tahu sama ada dia terjatuh itu mungkin sebab nak kemaskan. Semua abang tak tahu. Abang sudah tidur malam itu.

“Harap semua dapat faham, janganlah buat andaian yang bukan-bukan lagi. Jadi semua orang sudah tahu segala-galanya mengenai macam mana keadaan dia,” katanya di dalam siaran langsung menerusi platform TikTok itu.

Usahawan terbabit juga beranggapan bahawa perjalanan akhir isterinya sebagai sesuatu yang sangat indah kerana arwah meninggal dunia pada hari Jumaat dan menjelang bulan Ramadan.

Sempat berkongsi cerita mengenai kronologi kejadian, Ridzokumura mengakui ada terdengar dentuman di luar kondominium kediamannya namun memutuskan untuk tidak memeriksanya kerana terlalu mengantuk.

“Bagi saya, isteri sudah masuk terus ke syurga dan dialah bidadari syurga. Sebab Akiko pun tak pernah buat jahat kepada orang lain.

“Pada hari itu, abang ada terdengar macam bunyi jatuh. Bunyi macam kemalangan. Disebabkan rumah di sebelah lebuh raya, jadi memang selalu berlaku. Selalunya abang akan pergi periksa bersama isteri.

“Tengok jika ada sebarang kejadian, tetapi malam itu abang terlalu penat dan terus tidur,” kongsinya sambil menahan sebak ketika mengimbas semula detik-detik yang menyayat hati itu.

Ahli perniagaan itu menjelaskan bahawa pada keesokan harinya, dia mendapati Akiko tidak menyediakan sarapan seperti kebiasaannya sebelum mula tergerak hati bahawa ada sesuatu yang tidak kena.

Ridzokumura kemudian segera bergegas turun ke bilik air utama dan memanjat tingkap sebelum mendapati Akiko sudah berada di bahagian bawah kondominium di dalam keadaan tertiarap di atas tanah.

‘Abang sudah mula rasa tak sedap hati dan segera ke bilik kamu sebelum mendapati tingkap bilik sudah pun berada dalam keadaan terbuka dan rosak. Abang sudah tak fikir panjang, terus minta pengawal keselamatan hubungi ambulans dan pihak polis.” Ujarnya.

Terdahulu, seorang wanita Jepun berusia 50-an dilaporkan ditemui meninggal dunia dalam keadaan meniarap di atas tanah dipercayai terjatuh oleh anggota polis peronda yang ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan MERS 999.

Pelbagai spekulasi timbul sebelum Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa wanita warga Jepun terbabit ialah Akiko dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Difahamkan setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah ditemui oleh pihak polis dan jenazah Akiko juga sudah selamat disemadikan pada Sabtu lalu di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya.

Baca juga: Lapan bulan tak dibayar gaji punca pemain bola sepak ini terpaksa berniaga air balang