Riena Diana akui ‘koyak’, tak jadi tutup akaun Instagram lepas netizen mohon maaf

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Riena Diana mengakui cukup terkesan dengan kecaman melampau daripada netizen sehingga hampir membuat keputusan untuk menyahaktifkan akaun Instagram miliknya.

Hasrat tersebut bagaimanapun tidak diteruskan selepas menerima permohonan maaf daripada pengguna media sosial yang dipercayai bertanggungjawab memuat naik komen sedemikian.

Walaupun bersikap berlapang dada selepas menerima permohonan maaf, pemilik nama sebenar Nur Qamarina Diana Zureal itu berharap supaya kejadian tersebut tidak berulang lagi.

Perkara itu dikongsikan pelakon berusia 27 tahun terbabit menerusi satu hantaran video di Instagram Story selepas menerima permohonan maaf melalui kiriman mesej secara terus (DM) di akaun media sosial miliknya.

“Apabila saya memuat naik Instastory macam itu (marah-marah), barulah semua orang nak meminta maaf. Barulah semua mak cik di TikTok minta maaf dekat saya. Memang saya ‘koyak’ (terasa hati).

“Tetapi disebabkan mereka sudah mohon maaf, baguslah. Ramai yang hantar DM dekat saya untuk minta maaf. Tak mengapalah, sudah salah minta maaf. Baguslah, tetapi janganlah buat lagi.

“Apabila saya biadap, kata artis kurang ajar. Tetapi netizen boleh pula kurang ajar. Baru ingat nak nyahaktifkan akaun Instagram. Saya sudah koyak. Tetapi tak mengapalah, tak jadi,” katanya dalam hantaran itu.

Terdahulu, Riena meluahkan amarahnya semalam apabila ada netizen yang mendakwa mengenali ahli keluarga dan jiran pelakon berkenaan bertindak menyebarkan khabar angin kurang menyenangkan mengenai dirinya.

Pelakon drama Kampung People itu juga bertegas tidak akan berdiam diri lagi dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengecamnya di media sosial terutamanya berhubung perkara bersifat fitnah.

Menurut Riena, komen negatif sedemikian bukan sahaja boleh memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan mentalnya malah turut menjejaskan hubungan sesama ahli keluarganya.

Baca juga: Rakan teringin bau kubur Nurly Shahirah, individu balas ‘jenguk mak hang di kampung lagi banyak pahala’