Pernah menganggotai kumpulan lawak Sepah satu ketika dahulu, Mamat terkenang kembali kenangan bersama rakan seperjuangan, Shuib dan Jep.
Baru-baru ini tular mengenai kekeruhan hubungan Shuib dan Jep selepas Jep dikatakan tidak dijemput menghadiri majlis perkahwinan Shuib.
Disebabkan itu Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad bercadang untuk menemukan dua sahabat tersebut dalam suasana santai untuk menjernihkan semula hubungan lapor Kosmo.
“Saya kumpulkan Jep dan Shuib pada sekitar 2006. Ditakdirkan kami menang dan kemudian menjadi juara lagi. Dari hidup susah, ada yang sudah ke tahap jutawan, jadi orang penting.
“Saya pun tak sangka terjadinya isu sebegini dan soal perpecahan berbangkit. Secara peribadi memang saya mahu satukan mereka, tetapi bukan dalam keadaan sekarang ketika masing-masing sibuk.
“Saya pun suka dapat duduk sekali dengan mereka sambil mengenang kisah lampau kami, bergelak ketawa, bukan bercerita hal kerja.
“Sebenarnya kami ada kod bahasa kami sendiri,” ujarnya seperti dipetik Kosmo.
Persahabatan yang sudah bertahun lamanya jika terputus pasti terasa, Mamat akui rindu akan masa lalu semasa mereka bertiga masih rapat.
“Rindu memang rindu sebab Sepah adalah kumpulan terbaik yang saya ada. Cuma untuk duduk bertiga, saya minta doakan saja.
“Dapat minum kopi bersama-sama pun dah cukup,” tambahnya.
Baca juga: Muncul semula selepas 12 tahun, misteri kehilangan Anita Sarawak akhirnya terjawab