Tanpa sedar, kadang-kadang kita terambil lauk lebih daripada yang dipesan. Apatah lagi jika kuantiti dibeli banyak, ada sahaja yang terlepas pandang untuk dibayar.
Di saat ramai mungkin memilih untuk berdiam diri, wanita ini sanggup datang semula ke restoran hanya untuk membayar lauk tambahan yang tidak dilangsaikan anaknya.
Bagi dirinya, setiap makanan yang masuk menjadi darah daging walaupun nilainya kecil, rasa bersalah itu tetap menghantui hati.
Menerusi perkongsian Facebook Nasi Kandar Sulaiman (NKS), mereka tidak menyangka wanita yang mesra dipanggil ‘Mami’ sanggup datang membayar harga telur rebus yang jumlahnya hanyalah RM8.
“Mami kita ini datang ke NKS kata nak bayar RM8. Saya pun tanya kenapa tiba-tiba nak bayar RM8.
“Dia kata semalam anak datang beli nasi di NKS, anak minta nasi daging sahaja lapan bungkus tetapi bila balik rumah buka bungkus ada telur rebus dalam semua bungkus.
“Dia kata dia pun terkejut tengok ada telur rebus dalam semua bungkus, katanya dari semalam sampailah pagi ini dia rasa tidak sedap hati,” kongsinya dalam hantaran di Facebook.
Tidak menunggu lama, wanita itu datang terus ke kedainya keesokkan hari untuk membayar harga terlu rebus tersebut.
“Lalu pagi ini dia terus datang NKS bayar duit telur rebus itu. Saya pun kata tidak apa saya halalkan sahaja tetapi mami kata nak bayar juga sebab sudah makan.
“Dia kata kalau saya ambil duit ini baru dia akan rasa lega sebab katanya ini melibatkan darah daging kita, kalau tak halal nanti perlu jawab di akhirat.
“Walaupun saya kata halal tak perlu bayar akan tetapi mami masih bayar juga. MasyaAllah memang bagus,” kongsinya.
Pada masa sama dia berkongsi ada pelanggan yang makan tapi tak bayar, jadi pelanggan seperti Mami menyebabkan dia rasa bersyukur masih ada orang amanah.
“Di zaman ini ada saja orang yang makan tak bayar dengan sengaja sebab nak tipu, bahkan kita di NKS pun pernah hadap banyak kali.
“Jadi bila tengok mami ini saya rasa terharu sangat, dia rasa selagi tak bayar selagi itu hati tak senang.
“Ini tanda Allah akan gerakkan rasa bersalah di hati orang yang baik sebab itu dia cepat-cepat datang bayar,” ujarnya.
Baca juga: 99 Speedmart untung besar sejak trend pengguna beralih kepada barang murah