Risau ulang-alik naik bot ke sekolah, ibu minta maaf terpaksa hantar anak duduk asrama

Oleh WAN SITI AMINAH

Demi keselesaan dan keselamatan anak dalam menuntut ilmu, seorang ibu terpaksa menahan rasa rindu ‘separuh nyawa’ selepas menghantar kanak-kanak terbabit untuk tinggal di asrama.

Sang ibu turut memohon maaf kepada anaknya kerana telah menghantarnya ke asrama seawal umur sembilan tahun sedangkan kanak-kanak sesusia itu sepatutnya berada di sisi penjaganya.

Difahamkan, sekolah kanak-kanak itu terletak di pulau lain sehingga menyebabkan murid sekolah rendah berkenaan perlu berulang-alik dengan menaiki bot setiap hari untuk menuntut ilmu.

Oleh kerana itulah sang ibu nekad mengambil keputusan untuk menghantar anak kesayangannya itu tinggal di asrama demi kepentingan dan keselamatan kanak-kanak terbabit.

Perkara itu dikongsikan oleh ibu berkenaan menerusi satu hantaran video di platform TikTok memaparkan situasi hari pertama anaknya dihantar sehingga waktu kanak-kanak terbabit dijemput pulang ke rumah untuk bercuti.

@mommysaurus88

Mommy minta maaf terpaksa hantar Faliq tinggal di asrama seawal usia 9tahun. Mommy rindu Faliq separuh nyawa. Mungkin Faliq struggle untuk minggu pertama, its okey sayang ramai doakan Faliq. Tolong doakan mommy sekali 🤭 Mommy still nangis tepi bucu katil stiap mlm #anakpulau

♬ bunyi asal – اييم شافينا – اييم شافينا

Mommy minta maaf sebab terpaksa hantar Faliq tinggal di asrama seawal usia sembilan tahun. Mommy rindukan Faliq (nama anaknya) separuh nyawa. Mungkin di minggu pertama Faliq akan sukar sesuaikan diri.

“Tetapi tidak mengapa sayang, ramai yang doakan Faliq. Tolong doakan Mummy sekali. Sebab Mommy masih lagi menangis di tepi bucu katil setiap malam (kerana rindu),” kata sang ibu di ruangan kapsyen hantaran itu.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna terutama ibu bapa mempersoalkan tindakan pemilik akaun menghantar anaknya ke asrama tanpa memahami situasi sebenar.

Ramai juga pengguna yang juga merupakan ‘anak pulau’ kemudian tampil mempertahankan keputusan sang ibu dan menjelaskan mengapakah keputusan sedemikian diambil demi kepentingan anak.

“Anak pulau jika nak pergi ke sekolah kena naik bot, ambil masa. Anak kena bangun terlalu awal dan boleh jadi balik ke rumah nanti juga lambat. Mungkin sebab itu mereka duduk asrama. Tiada ibu bapa yang nak jauh dari anak,” kata seorang pengguna.

“Ramai yang komen tak mahu hantar anak duduk asrama. Siapa yang nak? Tetapi dalam video ini, sang ibu terpaksa sebab kena pergi sekolah hari-hari naik bot. Jauh dan juga kekangan masa. Kasihan anak kena bangun awal pagi ke sekolah.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Rupanya ini rahsia goreng ikan keli tak meletup! Ini tip khas daripada tukang masak