Pelakon dan penerbit terkenal, Rosyam Nor mencabar umat Islam untuk menyertai pertandingan azan anjuran syarikat terbitannya baru-baru ini.
Julung kali diadakan, pertandingan itu menawarkan hadiah berjumlah RM110,000 kepada perserta berupa wang tunai dan pakej mengerjakan umrah.
Malah, mereka yang berjaya memikat hati juri untuk menjadi pemenang juga bakal diberikan hadiah berbentuk trofi, hamper dan sejadah.
Tujuan Program Muazin itu diadakan adalah untuk meraikan keindahan, kesenian dan kepentingan azan selaku panggilan mengerjakan solat.
Menarik perhatian ramai peminat, pertandingan anjuran Suhan Channel itu telah mula dilangsungkan di pelbagai platform media sosial.
Untuk menyertai pertandingan ini, peserta perlu memuat naik video laungan azan menerusi platform pilihan di TikTok, Facebook atau Instagram.
Untuk memudahkan pihak penganjur untuk membuat penilaian, peserta perlu meletakkan tanda pagar #muazin dan #gegaransampaikelangit.
Peserta juga perlu mendaftar dan menghantar pautan (link) video mereka di laman web rasmi penganjur iaitu muazin.suhanchannel.com
“Saluran YouTube Suhan Channel berbesar hati berpeluang menyemarakkan keindahan laungan azan menerusi pertandingan yang dibuka secara online.
“Ini juga peluang kepada masyarakat melihat peserta menggunakan kaedah berbeza dalam mengalunkan suara mereka menyampaikan azan.
“Saya mempelawa semua umat Islam yang gemar menggunakan sosial media untuk sahut cabaran dan tonjolkan bakat kecemerlangan azan anda,” katanya.
Program Muazin yang bermula dari 7 hingga 26 Julai ini turut mempertandingkan tiga kategori iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak.
Penilaian dibuat menerusi jumlah tontonan (views) dan markah dari panel juri terdiri daripada ustaz bertauliah dalam bidang taranum dan tajwid.
Barisan panel juri yang terlibat adalah Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad dan Ustaz Amir Rahman Abas.
Baca juga: Masya-Allah, ajaibnya kuasa Tuhan! Kucing ini lahir dengan dua kepala