Rosyam Nor tak pernah terjerat cinta lokasi selama 40 tahun berlakon, anggap bini sendiri lagi lawa

Oleh KIM SYAZIE

Hampir 40 tahun bergiat dalam industri seni, pelakon Datuk Rosyam Nor boleh dikatakan antara artis yang paling kurang terpalit kontroversi termasuklah terjerat dengan cinta lokasi.

Walaupun beliau banyak kali berlakon dengan deretan aktres jelita termasuk Nasha Aziz, aktor itu tetap mengamalkan sikap profesional sebagai seorang pelakon.

Ujar Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, dia boleh beraksi dengan sesiapapun namun sentiasa sedar statusnya sebagai suami orang.

“Macam aku berlakon dengan ramai pelakon termasuk Nasha Aziz. Semasa bergandingan dalam filem aku kena jatuh cinta dengan dia tapi luar set, aku kawan dengan dia.

“Bila kita dah letak batas sebagai kawan, kita tengok dia pun tak rasa apa-apa.

“Lagipun, bini aku lawa, kau tak kenal bini aku. Bini aku lagi lawa dari Nasha Aziz,” selorohnya menerusi audio siar yang dihoskan DJ Nazz, seperti dilapor Kosmo!

Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Nasha menerusi filem Laila Isabela sebelum ini, Rosyam mengakui aktres terbabit banyak membantunya dari segi pemilihan pakaian yang sesuai untuk menjayakan watak bagi filem tersebut.

“Masa kami buat filem itu, kami tak ada ‘wardrobe’ tertentu yang dijaga. Nasha lah yang banyak bantu aku, dia suruh aku ajar dia berlakon dan pakaian aku, dia siapkan.

“Dia kan model, dia tahu pasal fesyen. Aku bodoh, anak setinggan mana tahu macam mana nak bergaya.

“Dia yang banyak ajar aku, dia suruh aku beli baju dan dia tolong siapkan pakaian untuk setiap babak. Sebab itu penampilan aku lain dalam filem tersebut. Meletop filem itu,” ujarnya panjang lebar.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan kenyataan Hero Malaya terbabit, selain menyifatkannya sebagai selebriti yang bebas kontroversi melibatkan rumah tangga dan keluarga.

Bukan hanya itu, netizen juga berpendapat keserasian antara Rosyam dan Nasha Aziz sangat sukar digugat mana-mana gandingan pelakon sehingga ke hari ini.

Baca juga: Sanusi akui PN berdepan cabaran sukar, tak anggap PRK Sungai Bakap perkara kecil