Roti John 2025 kosong tiada inti, tiada sayur

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pengguna Facebook meluahkan rasa tidak puas hati selepas roti john yang dibelinya dari sebuah gerai di bazar Ramadan tidak mempunyai inti.

Individu tidak mendedahkan nama itu memuat naik kekecewaannya di laman kumpulan Facebook Bera Unite.

Dia mendakwa, roti john yang dibelinya langsung tidak mempunyai inti daging atau ayam, bahkan sayur juga tiada.

Gambar yang dimuat naik pula memaparkan rupa makanan yang berharga RM9 itu yang dipenuhi sos cili dan mayonis semata-mata.

“Nak tanya, ini roti john tahun 2025 ke? Sebab kosong je. Daging dengan sayur apa pun tak ada. Bukan nak condemn peniaga Melayu, tapi beragak lah juga.

“Dah lah RM9 tapi dapat macam ini. Mungkin ini roti john versi baru agaknya!,” luah individu itu.

Difahamkan bazar tersebut terletak di Kerayong, Bera dekat Pahang.

Perkongsian itu diulang siar ramai pengguna media sosial sehingga ia menjadi perbincangan hangat.

Ramai yang mengatakan peniaga seperti ini selalunya mahu cepat untung dan mereka hanya berniaga pada bulan Ramadan sahaja.

Ramai juga mengkritik tindakan tidak jujur peniaga berkenaan yang dianggap mencemarkan periuk nasi peniaga roti john yang lain.

Baca juga: Masjid buat tarawih 20 rakaat dalam masa 10 minit, rupanya sejak tahun 1907!