Para menteri dari Pas dicabar meletakkan jawatan dan keluar dari kabinet kerajaan yang ada jika benar mereka tidak setuju dengan tindakan kerajaan tidak memberikan royalti petroleum kepada Kelantan.
Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu ketika merasmikan Konvensyen ke 6 AMANAH Kelantan berkata, itulah langkah paling wajar dibuat oleh mereka.
“Kalau tak setuju keluarlah kabinet. Ia pernah dibuat oleh bekas Presiden Pas, Datuk Asri Muda yang keluar kabinet kerajaan BN kerana tidak bersetuju keputusan kabinet ketika itu untuk mengisytiharkan darurat di Kelantan,” kata Mohamad Sabu, bekas ahli Parlimen Kelantan selama dua penggal itu.
Bagi Mohamad, pemimpin Pas tidak patut bercakap dan membuat bantahan terhadap keputusan kerajaan pusat itu melalui kenyataan akhbar.
“Patut tak cakap kepada akhbar, pergi jumpa PM lah kalau tidak bercakap dalam kabinet pun,” kata Mohamad ketika berucap merasmikan konvensyen itu yang diadakan di sebuah hotel di Kota Bharu.
Menurut Mohamad, Pakatan Harapan telah melaksanakan manifestonya sebelum ini iaitu royalti minyak untuk Kelantan jika PH menang.
“Tun Dr Mahathir tanya Menteri Kewangan Lim Guan Eng, boleh bagi ke RM400 juta ni. Lim Guan Eng kata, boleh,” cerita Mohamad Sabu yang menyebabkan beliau pernah bergurau dengan Setiausaha Agung DAP itu agar bertanding di Kota Bharu kerana nama beliau baik kepada rakyat negeri Kelantan.
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan Kelantan tidak akan diberikan royalti minyak kerana kedudukan telaga minyak yang ada di luar persisiran pantai Kelantan.
Kenyataan ini mengejutkan banyak pihak khasnya kerajaan negeri Kelantan kerana Majlis Kewangan Negara ketika kerajaan Pakatan Harapan telah membuat keputusan akan mematuhi perjanjian antara kerajaan negeri dengan Petronas sebelum ini untuk memberikan hak royalti kepada Kelantan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri memandang serius jawapan bertulis yang dikemukakan oleh Tengku Zafrul dalam persidangan Dewan Rakyat 24 November lalu.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 telah memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan akan memansuhkan Program Wang Ehsan dan memutuskan bayaran tunai petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri.
Semasa kerajaan PH, kerajaan Kelantan buat pertama kali telah menerima bayaran wang royalti berjumlah RM400 juta secara langsung ke akaun kerajaan negeri berbanding sebelum itu dalam bentuk wang ihsan yang diberikan kepada akaun Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kelantan dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).