Rumah Kieda Crepe dipecah masuk, peti besi penuh barang kemas bernilai RM800,000 lesap

Oleh KIM SYAZIE

Rumah seorang usahawan pencuci mulut yang popular dikenali sebagai Kieda Crepe dipecah masuk penjenayah sehingga mengalami kerugian mencecah RMRM800,000.

Perkara itu didedahkan Kieda atau nama sebenarnya Siti Nur Khalieda Yusra di platform media sosial miliknya pada malam semalam selepas 40 hari kejadian berlaku.

Maklum Kieda, kejadian berlaku pada 25 April lalu, antara jam 8 hingga 11 malam.

Kejadian tersebut hanya disedari mereka ketika pulang ke rumah selepas selesai berniaga.

“Pada hari berkenaan, kami baru balik ke rumah pada jam 11.40 malam. Suami, Mohd Hilmy Mohd Zaki masuk ke rumah dahulu sementara saya dan anak-anak berada di dalam van.

“Suami menyedari ada yang tak kena dengan rumah kami apabila mendapati keadaan rumah tidak seperti biasa kerana langsir terangkat dan ada baju kurung atas kusyen.

“Ini kerana, pada jam 7 malam hari sama, dia pulang ke rumah untuk menyediakan keperluan anak dan mengemas rumah,” katanya menurut Sinar Harian

Ujar Kieda, selepas mendapati ada sesuatu berlaku, suaminya meminta dia menghubungi sepupunya yang tinggal berdekatan untuk bantuan.

“Dia juga menyuruh saya dan anak-anak tunggu di dalam van dan mengunci pintu untuk keselamatan. Suami dan sepupu telah memeriksa sekeliling rumah dan mendapati salah satu tingkap telah pecah.

“Suami periksa pada tingkap, nampak kesan cungkil dan disepak. Suspek hanya menggeledah bilik. Kami mengesyaki penjenayah baru masuk kerana kesan tapak kasut masih basah dan bau badan yang sangat busuk,” tambahnya lagi.

Jelas usahawan itu lagi, dia dan suaminya hanya menyedari peti besi yang mengandungi barang kemas bernilai RM800,000 hilang ketika mengemas bilik tidur yang berselerak diselongkar penjenayah.

“Selepas mengemas bilik, baru kami sedar ada satu barang saja yang hilang iaitu peti besi. Saya dan suami menangis sekuat-kuatnya selepas menyedari peti besi hilang.

“Peti besi anggaran berat 200 kilogram itu disimpan di dalam almari. Di dalam peti besi itu ada semua barang kemas saya. Selepas keluarga dan kakitangan datang ke rumah, baru kami berdua ke balai polis untuk buat laporan,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintenden Zulkeflee Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kata Zulkeflee, polis menerima dua laporan polis daripada mangsa iaitu pada hari kejadian dan dua hari selepas kejadian.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan tiada sebarang petunjuk berikutan tujuh cap jari yang ditemui di lokasi kejadian, tiada di dalam pangkalan data kami.

“Selain itu, kamera litar tertutup di rumah mangsa juga telah rosak untuk membolehkan kami menjalankan siasatan di lokasi kejadian,” katanya lagi.

Baca juga: Kes jenayah seksual: Ibu mangsa dedah perbuatan PU Azman terhadap anak lelaki