Rupanya adik Najib sendiri bimbang dengan 1MDB, mengadu kepada Tun Mahathir

Oleh BORHAN AHMAD

Rupanya pihak yang paling bimbang dengan skandal 1MDB adalah adik Datuk Seri Najib Razak sendiri iaitu Datuk Seri Nazir Razak, Pengerusi kepada kumpulan perbankan CIMB ketika itu.

Kerana kebimbangan itulah, beliau telah mengadu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Najib masih menjadi perdana menteri.

“Sahlah antara orang yang bimbang bahaya kleptokrasi Najib adalah adiknya sendiri, Nazir sampai mengadu kepada Dr Mahathir,” tulis tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin (gambar).

Bagi Kadir, sebagai ahli perniagaan dan banker dia tahu skandal abangnya boleh merosakkan negara dan perniagaannya sendiri.

“Terbukti betul,” kata bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu menerusi facebook beliau.

“Baiklah Tuan, Tuan perlu melakukan sesuatu kerana Tuan menjadikan dia sebagai Perdana Menteri,” kata Nazir kepada Dr Mahathir.

Ekoran itulah, menjelang pilihan raya umum ke-14, pengerusi CIMB itu mengaku kecenderungannya terhadap Pakatan Harapan berbanding BN – yang dibina oleh bapa dan dipimpin abangnya.

Nazir berkata sokongannya kebanyakan diberikan di belakang tabir.

Bagaimanapun, pada suatu ketika, dia ada berbincang dengan isteri Azlina Aziz untuk mengumumkan secara terbuka.

“Dia sokong saya letak jawatan sebagai pengerusi CIMB bagi membolehkan saya sokong kempen pilihan raya PH,” katanya dalam memoir yang baru diterbitkan “What in A Name”.

Nazir berkata, dia tidak jadi menyokong PH secara terbuka selepas mendapat nasihat daripada Datuk Seri Rafidah Aziz dan Ngaire Woods, ahli akademik daripada Universiti Oxford.

Katanya dalam memoir itu, Rafidah bimbang perkara itu boleh membuatkan ibu mereka Toh Puan Hajjah Rahah Noah sedih.

PATUT JADI TELADAN

Sementara itu, keberanian Nazir untuk mendedahkan kebenaran walaupun beliau merisikokan huhungan beliau dengan abangnya Najib patut dijadikan contoh oleh rakyat negara ini, kata penulis yang juga penganalisis politik Kim Quek.

“Keazaman Nazir Razak untuk terus berada di landasan kebenaran, walaupun hubungan kekeluargaannya yang paling luar biasa – anak bekas perdana menteri, dan abangnya bekas perdana menteri sekarang – adalah patut dipuji dan dicontohi oleh semua rakyat Malaysia,” kata Kim Quek.

Katanya, nilai moral dan prinsip moral mesti mengatasi hubungan peribadi dan sentimen kaum dan agama, terutamanya apabila dua yang terakhir berat sebelah.

Rasuah adalah salah, dan rasuah mega seperti kes 1MDB yang boleh memufliskan dan memusnahkan negara adalah salah besar di bawah mana-mana sistem nilai dan mana-mana agama.

“Bukan sahaja yang bersalah harus dihukum, malah parti politik yang menimbulkan dan merelakan jenayah sebegini mesti ditolak dengan tegas oleh rakyat.

“Jika majoriti rakyat kita melanggan dan menghargai nilai-nilai seperti Nazir Razak, terutamanya semasa pilihan raya, negara akan terselamat daripada kemelut politik semasa,” kata beliau lagi.

Najib didapati bersalah dalam salah satu kes berkaitan 1MDB dan telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi namun kini bebas berkempen di Melaka dan akan mendapat pasport untuk melawat anaknya di Singapura.

Beliau juga yang mengumumkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri Melaka jika BN menang dalam PRN kali ini.