Nama pempengaruh media sosial, Ryan Fahmi Bakery tidak asing lagi dalam dunia industri kreatif selepas dikenali sebagai pencipta kandungan.
Selepas berjaya meraih kejayaan demi kejayaan, Ryan dilaporkan bakal menceburi dalam bidang nyanyian bersama adiknya, Adam Bakery.
Difahamkan, Ryan dan Adam menyertai proram realiti Famili Duo 3.
Ketika ditemui media di sidang media Famili Duo, semalam, Ryan mengakui bahawa bakatnya tidak sehebat peserta lain terutama daripada segi vokal.
Namun begitu, dia akan memastikan pembabitannya bersama Adam bakal memberi saingan kepada semua peserta yang lain.
“Saya tak anggap pun macam tu (tangkap muat). Hendak kata pandai sangat menyanyi tak adalah.
“Tapi kami bolehlah menyanyi. Lagipun kami ada buat persediaan dengan menyertai kelas vokal. Bukannya kami masuk membuta tuli,”
Ryan atau nama sebenar, Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, akan memastikan pembabitannya bakal memberi saingan.
Selain Ryan dan Adam, Famili Duo kali ini menampilkan Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (Duo Sepupu), Tom dan Fuad Rahman (Duo Suami Isteri), Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi (Duo Adik Beradik) dan Shila Amzah dan Syahir (Duo Adik Beradik).
Sementara itu, Ajai dan Mas Idayu masih kekal menduduki kerusi juri manakala Izzue Islam dan Janna Nick terus diberi kepercayaan sebagai pengacara.
Sekadar info, duo juara mingguan bakal memenangi hadiah bernilai RM10,000 pada tujuh episod pertama manakala finalis di pentas akhir Famili Duo berpeluang merebut hadiah wang utama sebanyak RM100,000.
Pemenang mingguan akan ditentukan juri tetap sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus).