Pasangan yang tular kerana membawa bayi dengan alat bantuan penafasan menaiki motosikal akhirnya sah bergelar suami isteri selepas diijabkabul pada petang Selasa.
Mereka dinikahkan selepas solat Asar di Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Kuala Kedah oleh imam masjid berkenaan iaitu Muhammad Hazamer Mualim dengan sekali lafaz.
Dalam majlis itu, Nor Hidayu Halim, 34, yang memakai baju sedondon putih dengan suami, Mohd Azlan Ishak, 36, menerima mas kahwin RM1,000 dan sebentuk cincin emas.
Imam yang juga Pengerusi Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer berkata, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang membantu memudahkan urusan pernikahan pasangan tersebut.
Muhammad Hazamer juga berharap agar masyarakat terus memberikan sokongan terhadap ibu bapa kepada bayi yang menghidap penyakit paru-paru kronik itu untuk meneruskan kehidupan baharu, lapor Sinar Harian.
“Mereka ini sudah berusaha untuk menghalalkan hubungan dan seharusnya kita ikut membantu dengan tidak berbicara yang buruk tentang status perkahwinan mereka ini.
“Selepas selesai urusan akad nikah ini, saya memberikan nasihat juga untuk mereka selesaikan urusan nasab anaknya pula,” kata Muhammad Hazamer memetik laporan Sinar Harian.
Terdahulu, pasangan yang tinggal di Taman Kota Nelayan itu mula menjadi sorotan selepas gambar mereka membawa bayi lelaki memakai alat bantuan pernafasan menaiki motosikal ditularkan di media sosial.
Mengundang simpati rakyat Malaysia, pasangan berkenaan ‘dibanjiri’ rezeki dengan derma orang ramai selain turut mendapatkan perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azlan dan Hidayu bagaimanapun malah dilanda kontroversi apabila dikhabarkan telah bersekedudukan tanpa sebarang ikatan sebelum diarahkan berpisah sementara kerana tiada hubungan perkahwinan.
Muhammad Hazamer ketika itu menjelaskan bahawa pasangan terbabit terpaksa difaraqkan (dipisah) sementara pihaknya cuba untuk membantu melengkapkan dokumen dan proses pernikahan mereka.
Hasil perkongsian hidup bersama Azlan dan bekas suaminya, Hidayu dikurniakan lima anak iaitu Ahmad Hafizi, 17, Ahmad Amirul Amin, 14, Iman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim, 9, Nur Rabbiatul Husna, 4 dan Mohd Aariz Zafran yang kini berusia 11 bulan.
Mohd Aariz adalah bayi yang memakai alat bantuan penafasan ekoran menghidap penyakit paru-paru kronik manakala Ahmad Hafizi menghidap cerebral palsy, dan Iman Fayruz pula menderita masalah jantung berlubang.