Satu jawatankuasa siasatan khas perlu ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Peguam Kanan Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Peguam Negara perlu segera mengarahkan hal sedemikian memandangkan kenyataan terbaharu Suruhanjaya Sekuriti (SC) bercanggah dengan kenyataan asal Azam Baki sebelum ini.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan SC semalam menunjukkan Azam Baki adalah pemegang dan mengawal akaun dagangan itu termasuklah dalam memberi arahan transaksi dan memberi, menjual serta memindahkan sekuriti.
Menurutnya, kenyataan SC itu berbeza dengan kenyataan Azam yang menyatakan akaun itu digunakan secara eksklusif oleh adiknya, Nasir Baki.
“Oleh demikian, hanya satu kesimpulan dapat dibuat iaitu Peguam Negara perlu melakukan tindakan segera untuk membentuk satu jawatankuasa khas mengenai perkara ini, seperti yang pernah dilaksanakan pada 2015 oleh mantan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail susulan isu IMDB,” dipetik BH.
Mohamed Haniff berkata, jawatankuasa siasatan khas itu perlu dibentuk untuk menyiasat segenap aspek berkaitan dalam isu tersebut iaitu, pertama; menyiasat pelanggaran dalam Akta SPRM.
Kedua, jelasnya, adalah siasatan terhadap pelanggaran peruntukan dalam arahan dalaman dan perkhidmatan awam; dan ketiga adalah kesalahan dalam pelanggaran Akta Depositori Pusat Sekuriti 1991 (SICDA) serta peruntukan keselamatan lain.
Beliau menyifatkan berdasarkan siasatan SC, kenyataan Azam Baki pada sidang akhbar 5 Januari lalu tidak terpakai dan tiada nilai dari segi perundangan.
“Adalah teramat penting untuk Peguam Negara mengambil beberapa perkara termasuk menubuhkan jawatankuasa siasatan khas,” katanya sambil mengingatkan pentingnya siasatan telus dan lengkap oleh jawatankuasa khas itu.