Sampaikan khutbah Jumaat di New York, Anwar sempat mengislamkan saudara baru

Oleh WAN SITI AMINAH

Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin negara luar pertama yang diberikan penghormatan menyampaikan khutbah di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY).

Sejurus selesai solat dan menyampaikan khutbah Jumaat, Perdana Menteri Malaysia itu juga berkesempatan memimpin syahadah seorang lelaki untuk memeluk Islam.

Terjadi pada tengah hari semalam, Anwar mulanya mahu beredar sambil bersalaman dengan jemaah selepas menyampaikan sumbangan al-Quran daripada kerajaan kepada masjid.

Namun, pengacara majlis kemudian memaklumkan bahawa seorang lelaki dikenali sebagai Andrew Vinals mahu memeluk Islam dan meminta Anwar untuk tampil.

Seorang pegawai masjid kemudian dilihat menjemput Anwar sambil pengacara majlis mengumumkan Perdana Menteri akan menyempurnakan pengislaman lelaki berkenaan.

Memetik laporan Berita Harian, pegawai media daripada Pejabat Perdana Menteri menjelaskan bahawa majlis tersebut berlaku secara kebetulan dan tiada dalam atur cara rasmi.

Terdahulu, Anwar di dalam khutbahnya menyarankan umat Islam untuk bersatu bagi menghadapi cabaran termasuk ancaman terhadap agama oleh golongan Islamophobia.

Menteri Kewangan itu turut menganjurkan umat Islam untuk bukan sahaja mendalami ilmu agama, sebaliknya menimba sebanyak ilmu seperti kemahiran bidang teknologi.

“Kita disarankan oleh Allah SWT menerusi al-Quran dan Nabi Muhammad SAW supaya berdakwah untuk memberi kefahaman kepada bukan Islam.

“Selain meningkatkan kesepaduan Islam, kita juga perlu memupuk hubungan dengan mereka bukan Islam supaya dapat membantu mereka lebih mengenali Islam,” katanya.

Pengacara majlis kemudian mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana sudi menerima jemputan pihak masjid untuk berjemaah dan memberikan khutbah Jumaat.

Katanya, jemaah masjid bertuah kerana Perdana Menteri yang menerima sanjungan di peringkat antarabangsa khususnya dunia Islam, hadir berjemaah di masjid berkenaan.

“Kita bersyukur kerana Perdana Menteri Malaysia sudi menerima jemputan dan jemaah berpeluang menemui pemimpin seperti Anwar.” Ucap pengacara tersebut.

Merupakan tempat bersejarah, ICCNY adalah masjid pertama dibuka di kota New York pada 25 September 1995 yang turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Anwar Ibrahim berangkat ke New York, Amerika Syarikat dalam rangka menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78.

Baca juga: “Kami dah lalui 3 perkahwinan, malangnya kami perlu terus ‘mencari’ di tempat lain” – Engku Emran