Abang ipar kepada selebriti popular, Neelofa iaitu Engku Emran akhirnya membuka mulut mengenai khabar pergolakan rumah tangganya bersama isteri, Noor Nabila.
Merasa terpanggil untuk memberikan kenyataan, Engku Emran menyelar tindakan sesetengah pihak yang meninggalkan komen melampau mengenai isu tersebut.
Kata Emran, dia tidak ingin memberikan maklum balas terhadap khabar angin serta gosip sebelum ini kerana telah menganggapnya sebagai murahan dan sampah.
Namun situasi kali ini sudah berlebihan bagi Emran sehingga ahli perniagaan itu memutuskan untuk memuat naik kenyataan menerusi akaun Instagram miliknya.
“Saya rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk berkata sesuatu dengan niat menghindari fitnah daripada tidak terkawal.
“Selepas ini, jika anda terus membuat andaian dan cerita hendak menyedapkan selera nafsu, itu masalah yang anda perlu selesaikan dengan Allah.
“Saya tidak pernah beri maklum balas kepada khabar angin dan gosip murahan serta ‘sampah’ anda. Ini kerana anda tidak memberi makan kepada keluarga saya,” katanya.
Dalam pada itu, Emran juga menyifatkan bahawa kemelut yang dihadapinya sebagai satu ujian dari Tuhan dan dia bersama isteri sudah dapat menerimanya dengan reda.
Sudah berumah tangga sebanyak tiga kali, pasangan berkenaan malangnya terpaksa berpisah sekali lagi untuk mencari kebahagian mereka masing-masing.
Menerima takdir yang tertulis sebelum mereka berdua lahir di dunia, Emran tidak pernah menganggap bahawa tiga perkahwinan dilaluinya itu sebagai satu kegagalan.
“Kami tidak pernah mengacau hidup sesiapa. Ini ujian untuk kami dan alhamdulillah, kami reda. Hormati ruang kecil kami walaupun ia tak sempurna.
Kami sudah lalui tiga perkahwinan dan kami tahu apa yang kami mahukan untuk hidup. Malangnya, kami perlu teruskan ‘mencarinya’ di tempat lain.
“Saya beritahu Nabila bahawa tiga perkahwinan ini bukan kegagalan. Ia sudah pun di dalam ‘skrip’ sebelum kita masuk ke ‘dunia’ tersebut.” Ulas suami Noor Nabila itu.
Menurut Emran, perpisahan itu adalah perjalanan yang tidak dapat dielakkan dalam mencari-Nya (Allah) dan selagi mana mereka mendekatkan diri kepada-Nya, itu sudah menjadi satu kejayaan besar.
Lelaki berusia 48 tahun itu turut meminta semua pihak menghormati ruang yang ada selain memohon doa supaya Allah mempermudahkan urusan kedua-dua mereka.
Terdahulu, Noor Nabila mendedahkan bahawa dia dan suami bakal bercerai dalam masa yang terdekat selepas lelaki itu keluar dari rumahnya pada awal Januari lalu.
Jelas Nabila, keputusan itu dibuat bersama selepas Emran meluahkan hasratnya untuk berundur diri dari perkahwinan mereka yang berusia dua tahun itu.
Baca juga: Hanya bertahan 2 tahun, terbongkar punca penceraian Noor Nabila dan Engku Emran