Sanggup bayar lebih, Elfira Loy nak cari sekolah selamat untuk anak, tak ambil ‘maid’

Oleh MAISARAH AISYA

Semakin banyak kes penderaan kanak-kanak malah hingga ada maut di tangan mereka yang dibayar untuk menjaga.

Dalam keadaan ekonomi sekarang, kebanyakan ibu bapa keduanya perlu bekerja demi menjamin kesenangan hidup anak-anak.

Disebabkan itu, pelakon Elfira Loy sanggup mengeluarkan belanja buat anak-anak bagi memastikan keselamatan mereka terjamin di sekolah yang dipilih lapor Kosmo! Online.

“Kisah-kisah ini menjadikan saya takut dan sanggup berbelanja lebih untuk hantar anak-anak ke sekolah yang dipercayai.

“Buat masa ini saya hanya rasa takut, berjaga-jaga dan mampu berdoa untuk mereka. Semua cerita (kes dera) merupakan peringatan untuk saya agar sentiasa bersiap sedia.

“Ini termasuk aktiviti dilakukan oleh anak-anak yang terdedah dengan banyak perkara di luar,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pada masa sama ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf dan Nur Aria Mikayla memilih menjaga dua anaknya tanpa pembantu rumah dan menguruskan ia dengan bantuan suami, Faris Khairol.

“Bukanlah tidak percaya tetapi apabila saya ambil keputusan untuk memiliki anak, memang saya nak jaga sendiri dan suka menjadi seorang ibu.

“Menjadi seorang ibu adalah tanggungjawab dan ini juga adalah nikmat yang Allah SWT beri sebab dapat masa bersama anak-anak.

“Banyak kelebihan dapat jaga anak sendiri seperti mengajar mereka tentang ilmu agama dan perkara-perkara yang baik,” ujarnya.

Baca juga: Mat Salleh ini tak mahu Malaysia dikenali di kalangan pelancong, alasannya mencuit hati!