Sanusi kongsi semula kenyataan fitnah, Mahfuz pertimbang prosiding hina mahkamah

Oleh KIM SYAZIE

Sehari selepas kalah dalam kes mahkamah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkongsi semula kenyataan fitnah di laman Facebooknya.

Seolah-olah tidak dapat menerima kekalahan, tindakan Menteri Besar Kedah itu telah melanggar injunksi mahkamah.

Pada November 2021, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah yang menegah Sanusi dari memfitnah Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar.

Sehubungan dengan itu, Mahfuz akan mempertimbangkan keputusan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Sanusi.

Menurut Mahfuz, beliau akan meminta peguam yang mewakilinya untuk menyemak tindakan lanjut yang wajar diambil.

“Saya nampak tindakan dia memuat naik semula kenyataan itu jelas memperlihatkan dia tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

“Saya akan minta peguam saya semak (prosiding hina mahkamah), apakah wajar untuk saya mengambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, Sanusi telah memuat naik semula postingan fitnah yang dibuatnya pada Julai 2019 ketika mengulas keputusan dikeluarkan Mahkamah Rayuan.

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu turut berjanji untuk melunaskan tuntutan yang telah diperintahkan mahkamah iaitu RM120,000.

“Apabila sudah didapati bersalah dengan posting ini, menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan tuntutan mereka.” Ulasnya.

Baca juga: Saman fitnah: Sanusi diarah bayar RM120,000 kepada Mahfuz Omar