Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Melalui program ini, penerima layak dapat membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit yang disalurkan terus ke dalam kad pengenalan mereka.
Hari keempat pelaksanaan SARA berjalan lancar dengan mencatat jumlah jualan sebanyak RM117.1 juta.
Ini melibatkan 1.8 juta penerima di seluruh negara. Angka ini meningkat berbanding RM76.8 juta oleh 1.1 juta penerima pada 2 September lalu.
Menurut Kementerian Kewangan, kadar transaksi berjaya juga bertambah baik kepada 99.7 peratus, berbanding 95 peratus yang direkodkan pada 2 September.
Peningkatan itu didorong oleh usaha penambahbaikan serta peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tiga hari kebelakangan ini, sekali gus memastikan kelancaran SARA.
Secara keseluruhan sejak pelaksanaan pada 31 Ogos 2025, lebih 4.8 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit SARA, dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM312.6 juta di seluruh negara.
Kementerian Kewangan menegaskan pencapaian ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya daripada bantuan yang disalurkan.