Tular sebelum ini penyanyi Naim Daniel yang membuat laporan polis terhadap individu yang meninggalkan komen ugutan untuk membunuh ibu bapanya.
Anak mana sahaja yang tidak berang, baik artis atau tidak, orang biasa tak perlu libatkan keluarga mereka jika tidak berpuas hati dengan satu figura.
Menurut Kosmo! Online, kes tersebut kini di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMC).
“Kau tak menyesal masuk penjara hanya disebabkan mengecam Naim Daniel?” itulah soalan yang dilontarkan Naim usai bertemu individu tersebut.
Pada masa sama Naim berkongsi bertemu dengan individu yang masih bergari dan sempat berbual selama tiga jam.
“Saya ada bertemu dengan individu tersebut selama tiga jam dan pada waktu itu, saya melihat dia dalam keadaan bergari malah telah direman selama empat hari.
“Memang saya beri ceramah percuma supaya dia sedar kesalahan yang dilakukan.
“Tetapi dia hanya jawab pada saya bahawa tindakan yang dilakukannya itu adalah disebabkan terikut dengan orang lain. Terus rasa tergamam sekejap,” katanya seperti dipetik HibGlam.
Kurang komen negatif lepas buat laporan polis
Dalam pada itu, Naim memaklumkan sudah menerima permohonan maaf individu tersebut malah segala komen negatif juga sudah berkurang.
“Tindakan yang saya ambil terhadapnya adalah tepat demi memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang tidak berfikir panjang sebelum melakukan kesalahan.
“Harapnya orang di luar sana khususnya netizen tidak melakukan hal sama.
“Lepas kes saya buat laporan polis, platform media sosial saya terus sunyi daripada sebarang kecaman.
“Jadi, perkara sebegitu memang beri impak, sekurang-kurangnya dapat buat orang fikir panjang sebelum lakukan jenayah siber,” katanya lagi.