Penyanyi dan pelakon popular, Alif Satar kembali dikaitkan dengan perbuatan curang lelaki lain hanya kerana mereka berdua berkongsi nama yang sama.
Bukan dikecam, selebriti serba boleh ini sebaliknya dibanjiri dengan pujian daripada orang ramai termasuk pakar motivasi dihormati, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.
Hal ini kerana pemilik nama sebenar Muhammad Alif Mohd Satar itu tidak pernah terlibat dengan masalah mahupun gosip sejak menceburi bidang hiburan tempatan.
Pelakon berusia 33 tahun itu bagaimanapun enggan menerima sebarang pujian kerana berpendapat bahawa dirinya tidak sempurna dan masih memiliki kekurangan.
Malah, Alif secara peribadi merasa kurang selesa apabila namanya sering dikaitkan apalagi isu itu melibatkan kesengsaraan yang dialami orang lain, lapor Berita Harian.
“Saya segan sebab pujian itu mungkin datang daripada berita negatif orang lain. Ia mungkin kedengaran kelakar dalam media sosial. Tetapi kehidupan orang lain yang terjejas dan banyak hati terguris.
“Jadi, Fadzilah komen itu Alhamdulillah. Tetapi segala pujian itu semuanya bagi Allah. Saya sedikit pun tak rasa bangga dengan pujian. Orang boleh cakap apa-apa sama ada negatif atau positif.
“Saya tak berkenan jika pujian itu datang daripada berita tak baik orang lain. Saya pun terkejut apabila dapat mesej atau komen bertanya bila saya bernikah lain,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Alif turut memaklumkan, dirinya tidak berani untuk meninggalkan komen berlebihan mengenai isu curang itu kerana masih tidak tahu nasib pada masa akan datang.
Terdahulu, Fadzilah telah memuat naik hantaran di aplikasi X yang memuji keperibadian dimiliki Alif kerana dikatakan mempunyai kehidupan seimbang di dunia dan di akhirat.
Ciapan Fadzilah itu turut mengundang perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial, namun rata-rata daripada mereka turut bersetuju dengan pendapat tersebut.
“Dalam banyak-banyak Alif, Alif Satar sahaja yang Tok Abah (panggilan Fadzilah) berkenan. Suara sedap, suka kongsi hal kecergasan dan ada asas agama yang mantap.
“Memang nampak gaya hidupnya seimbang dunia akhirat. Alhamdulillah!,” ciap Fadzilah menerusi hantaran tular yang ditonton oleh hampir sejuta pelayar TikTok.
Pujian buat Alif dipercayai timbul selepas kecoh isu melibatkan selebriti media sosial, Alif Teega yang berkahwin kali kedua secara senyap saat isterinya, Aisyah Hijanah sedang hamil.
Baca juga: Kemaruk cinta! Wanita tua kecewa tak dapat bagi harta kepada kekasih muda, dihalang anak-anak