“Saya tidak berniat…”- Jurulatih bola tampar mohon maaf secara terbuka

Oleh KIM SYAZIE

Jurulatih bola tampar yang terbabit dalam kontroversi menampar dua pemain remaja pada 16 Disember lalu, tampil memohon maaf secara terbuka atas tindakannya itu.

Saiful Hadee Amar, 44, mengakui kesal dengan perbuatannya dan sedia berdepan tindakan susulan daripada insiden tersebut.

Dalam sidang media di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka malam tadi, Saiful Hadee berkata dia tidak berniat mengambil tindakan untuk mencederakan, sebaliknya hanya mahu memberi motivasi.

“Saya tidak berniat mengambil tindakan sehingga mendatangkan kecederaan…tindakan saya untuk menaikkan lagi semangat mereka, memotivasikan mereka dalam setiap perjuangan yang saya ada.

“Saya memohon maaf pada semua pemain, terutama dua pemain terlibat, ibu bapa, kelab saya sendiri Mastanah dan Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) serta komuniti bola tampar di Malaysia,” katanya dipetik Bernama.

Pada semalam, pemain-pemain Kelab Bola Tampar Melaka mempertahankan jurulatih mereka dan memohon agar orang ramai berhenti mengeluarkan apa jua kenyataan terhadap jurulatih mereka

Pemain-pemain itu menegaskan bahawa gurunya adalah jurulatih yang amat disenangi dan selama ini telah melatih mereka sehingga mencipta sejarah baru untuk Melaka.

Bapa salah seorang pemain turut dilaporkan berkata, sudah memaafkan jurulatih terbabit dan berharap dia tidak dikenakan sebarang tindakan.

Baca juga: ‘Beliau bukan gemuk dan botak yang boleh dihina’, pemain kelab bola tampar pertahan jurulatih