Pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus selamat diijabkabulkan dengan isterinya yang juga seorang pelakon, Angeline Tan, pagi tadi (Sabtu).
Pasangan merpati dua sejoli itu dinikahkan dengan sekali lafaz oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang lebih mesra dikenali sebagai Dr Maza.
Kedua-dua bintang sitkom Pi Mai Pi Mai Tang itu kelihatan menawan dan sepadan ketika mengenakan baju Melayu dan baju kurung moden berona putih senada.
Majlis yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat itu menyaksikan Sabri Yunus menyerahkan mas kahwin berbentuk seutas rantai emas kepada isterinya.
Berkenalan pada tahun 1992 ketika sama-sama membintangi drama Pak Din KK, Sabri dan Angeline atau nama Islamnya Ardini, hanya mula rapat pada tiga tahun lalu.
Meskipun sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga, Sabri yang berusia 63 tahun itu mahu menunggu kesediaan Angeline untuk memeluk Islam, lapor Kosmo!.
“Alhamdulillah, benar kami baru sahaja bernikah sebentar tadi. Tak tahu macam mana nak cerita, tetapi kami berdua bersyukur majlis pernikahan ini dipermudahkan.
“Kami sudah kenal lama, sejak 1992 lagi. Tetapi kami mula betul-betul rapat tiga tahun lalu. Malah, dua-dua pun pernah merasakan kehilangan. Susah senang, sihat sakit saling menemani.
“Tetapi saya tunggu dia untuk sedia peluk Islam. Alhamdulillah, awal Oktober hari itu dia memeluk Islam dan kami terus merancang untuk menikah hari ini,” katanya memetik laporan Kosmo!.
Pemilik nama penuh Mohd Sabri Yunus itu mula bergandingan bersama dalam drama Pak Din KK sebaik Angeline menyertai sebuah syarikat produksi Cina pada 1992.
Baru berjinak-jinak sebagai pelakon, Angeline yang memegang watak sebagai kerani dalam drama itu menganggap Sabri sebagai guru pertamanya dalam arena lakonan.
Setahun kemudian, mereka kembali bersatu dalam sitkom arahan Othman Hafsham, Pi Mai Pi Mai Tang Tu sehingga drama pentas itu berakhir pada tahun 2000.
Namun keakraban antara Angeline yang kekal dikenali sebagai Lucy dan Sabri selaku pemegang watak Wan Ismail Golok itu terus berkekalan hingga menjadi suami isteri.
Untuk rekod, Sabri pernah berkahwin dengan Norraya Mohd Yusuf dan dikurniakan tiga cahaya mata sebelum wanita itu meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2007.
Manakala Angeline pula pernah memiliki dua anak daripada perkahwinan terdahulu.
Baca juga: “Wanita ambil lebih banyak masa ketika isi minyak berbanding lelaki” Betul ke?