Sekatan jalanraya 88 tempat di ibukota susahkan polis, dakwa MP DAP

Oleh BORHAN AHMAD

Sekatan jalanraya di pusat bandar Kuala Lumpur oleh polis untuk menghalang perhimpunan yang telah dibatalkan adalah membazirkan tenaga dan masa polis, kata ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

“Saya merasa kesal polis mengadakan menutup dan mengalihkan lalu lintas di 88 jalan di Kuala Lumpur hari ini kerana ia telah menyusahkan ramai warga kota yang ingin masuk dan keluar pusat bandar Kuala Lumpur.

“Penutupan dan pengalihan trafik yang melibatkan begitu ramai anggota polis terhadap satu perhimpunan yang telah dibatalkan memang tidak munasabah dan membazirkan masa dan tenaga polis,” kata ahli parlimen DAP itu dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut beliau, pihak polis Kuala Lumpur sebenarnya telah diberitahu bahawa perhimpunan hari ini telah dibatalkan kerana penganjur, iaitu Jawatankuasa Sekretariat Solidariti Rakyat 2021 telah menghantar surat kepada ACP Dellhan Yahaya, Ketua Polis Daerah Dang Wangi pada 18 Ogos 2021.

Dalam surat itu, penganjur memberitahu polis bahawa Protes Keluar dan #Lawan hari ini dibatalkan kerana bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin telah meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021.

“Ini bermaksud sekatan jalanraya di pusat bandar Kuala Lumpur sebenarnya ialah usaha yang sia-sia sahaja.

“Pihak polis tidak perlu menggembelingkan begitu ramai anggota polis untuk mengadakan sekatan jalanraya dan menyusahkan ramai pemandu kereta yang ingin menjalankan urusan mereka Kuala Lumpur,” katanya.

Bagi beliau, adalah lebih baik bagi pegawai polis dikerahkan untuk menangani aduan orang ramai dan menjalankan siasatan kes-kes jenayah yang dilewatkan kerana masalah Perintah Kawalan Pergerakan yang bertempoh panjang, dan bukannya mewujudkan ketidaksenangan warga kota atas satu perhimpunan yang telah dibatalkan.