AMANAH hari ini menganjurkan Himpunan Rakyat Desak Perdana Menteri merehatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang terpalit dengan isu pemilikan sejumlah besar saham.
Unjuk rasa di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra diketuai oleh Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai.
Turut hadir Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena serta Ketua Biro Mobilisasi AMANAH Nasional, Sany Hamzan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer.
Dalam hal berkaitan, Pemuda AMANAH Nasional dan Peguam Muda AMANAH jam 11 pagi esok akan mengadakan sidang media di Wisma AMANAH Nasional menjelang Himpunan Tangkap Azam Baki.
Sejak beberapa hari lalu, muncul tagar (tanda pagar) #TangkapAzamBaki di Twitter berserta poster mengenai demonstrasi itu yang dijadualkan pada 22 Januari depan.
Kontroversi membabitkan Azam berlarutan sebelum pegawai kanan kerajaan itu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat.
Azam memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga, selain tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.