Bukan setakat orang ramai yang kesal dengan kegagalan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon yang boleh bercakap Bahasa Kebangsaan dengan baik, bahkan sekutu Pas dan Umno juga kesal dengan tindakan itu.
Pensyarah yang sentiasa mengkritik Pakatan Harapan sebelum ini, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah (gambar) terkejut, calon MCA sepatah haram tak reti cakap Melayu.
“Apakah benar calon ini warganegara Malaysia?
“Sedih dan malang sekali, menonton klip video calon wanita muda MCA PRN Melaka, apabila ditemubual dalam Bahasa Melayu mudah, langsung tidak boleh memberikan respon. Langsung tidak faham.
“Yang kedengaran, wo pu chi taw, katanya, dalam maksud, saya tidak tahu atau tidak faham
“Sepatah haram Bahasa Melayu dia tak tahu. Macam mana boleh jadi calon MCA? Bukankah MCA berada dalam Barisan Nasional bersama UMNO?
“Macam mana calon ini boleh jadi rakyat Malaysia,” tanya Redhuan dalam tulisan di facebook beliau mengkritik calun BN DUN Kesidang, Leong Hui Ying.
Menurut pensyarah Universiti UniSZA, Terengganu itu, kalau ditanya soalan tersebut kepada pekerja Bangladesh pun, beliau amat yakin Bangladesh itu boleh jawab soalan mudah BM itu dengan baik.
“Bukan warganegara jauh lebih baik Bahasa Melayu berbanding warganegara sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pejabat Jabatan Pendaftaran Negara untuk selidik sijil kelahiran dan kad pengenalan calon BN, “takut-takut berasal daripada Vietnam atau China yang mendapat dokumen ini secara salah.”
Beliau memohon kepada pengundi agar menolak calon ini “sehingga hilang wang depositnya.”
“Hairan sungguh, bagaimana orang sebegini boleh diletakkan sebagai calon PRN Melaka oleh MCA,” katanya.