Selamba bawa masuk kekasih dalam rumah sewa, siap tidur sebilik lagi

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita menggunakan sosial media untuk meluahkan rasa kecewa terhadap rakan serumah yang tidak menghormati orang lain dengan membawa kekasihnya masuk rumah.

Lebih mengecewakan, mereka pula terpaksa mengalah dan menjaga aurat apabila teman lelaki tersebut datang untuk buat ‘kerja’ lapor Kosmo.

Walaupun sudah ditegur berkali-kali, namun segala kata-kata ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Kami semua perempuan dan tinggal di sebuah kondominium di Kuala Lumpur. Seorang rakan rumah ini selalu sangat bawa kekasih masuk rumah.

“Kadang-kadang malam tengah buat tugasan, dia datang cakap kekasih dia nak masuk rumah kejap, kemudian kami pula yang kena angkat barang masuk dalam bilik buat kerja,” katanya dalam luahan di Twitter.

Bukan sekadar singgah, malah pengadu memaklumkan bahawa teman lelaki tersebut kerap tidur di rumah sewa hingga menyebabkan ketidakselesaan.

“Selalunya kekasih dia memang akan tidur dalam bilik dengan dia, pagi esok baru keluar rumah balik.

“Dia memang langsung tak kisah soal ‘personal’ dan aurat kami yang lain, asalkan kekasih dia dapat masuk rumah.

“Bayangkan bayar sewa mahal tapi kena kongsi rumah dengan lelaki asing. Kami pelajar dan tak tahu sangat kalau ada kes macam ini.

“Tolong cadangkan macam mana nak buat laporan atau apa-apa tindakan lain. Nasihat apa semua memang tak jalan,” katanya.

Rata-rata warganet menasihatkan pengadu untuk buat laporan kepada pihak agama untuk serbuan ke lokasi.

Baca juga: Tak puas hati kena hon, lelaki bawa parang masa bertengkar ditahan polis