Pertemuan antara perdana menteri bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) semalam dilihat sebagai perkembangan yang positif ke arah politik lebih matang dan rekonsiliasi menuju pemulihan nasional.
Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim mencadangkan agar negeri Selangor dijadikan sebagai tempat permulaan atau ‘launch pad’ bagi melancarkan pemulihan tersebut memandangkan Selangor adalah mini Malaysia dan penyumbang 20 peratus kepada ekonomi negara.
Beliau menyarankan agar kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sama-sama menyatakan komitmen untuk memastikan angka-angka yang melibatkan kes Covid-19 di Selangor adalah tepat dan tidak dipolitikkan.
“(Selain itu), melakukan intervensi dan sinergi bersama-sama kerajaan Negeri Selangor dalam membantu menangani pandemik di negeri ini termasuk perkongsian data dan maklumat serta peningkatan kapasiti dan fasiliti kesihatan awam.
“Mengambil pengalaman dan model Selangor terutamanya dalam aspek pengesanan kontak, saringan, vaksinasi dan inisiatif bantuan kepada rakyat untuk digunapakai di negeri-negeri lain.
“Dan mengkaji kebenaran untuk membuka kembali kilang-kilang dan industri secara berfasa dengan pemantauan SOP yang ketat bukan sahaja di tempat kerja tetapi juga di tempat tinggal pekerja” usulnya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Anwar turut menyatakan keyakinan jika pendekatan ‘launch pad’ dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen, matlamat rekonsiliasi dan pemulihan nasional akan dapat dicapai dalam kadar yang segera.