Kerajaan Negeri Selangor melancarkan projek mengarusperdanakan gender (Gender Mainstreaming – GM) sebagaimana yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, projek GM ini adalah projek perintis selama tiga (3) tahun di mana ia telah berjaya dilaksanakan tahun pertama pada tahun 2020.
“Kerajaan Negeri Selangor berasa bertuah dan berbangga kerana telah diberikan tanggungjawab yang sungguh murni untuk menyantuni keperluan wanita dan lelaki yang berbeza tanpa mengira latar belakang menerusi pelaksanaan Projek Pengarusperdanaan Gender ini,” katanya.
Katanya, cerminan dedikasi kerajaan negeri ini boleh dilihat apabila kita memberikan komitmen sepenuhnya bagi Projek Pengarusperdanaan Gender ini dengan peruntukan sebanyak RM 1.86 juta bagi pelaksanaan tiga tahun dan diperkukuhkan lagi dengan pemilihan Exco Perintis, lantikan GFP serta GFT.
Pengarusperdanaan Gender bukanlah sesuatu yang baru. Ia pertama kali diperkenalkan pada Persidangan Third World Conference on Women di Nairobi, Kenya pada tahun 1985 dan secara rasmi telah diterima pada tahun 1995 pada
Konferens seterusnya di Beijing, China dan telah didokumenkan menerusi Beijing Platform for Action (BPFA).
Di negara maju yang lain khususnya Negara Nordik, Pengarusperdanaan Gender bukanlah sesuatu yang baru. Antara negara-negara yang telah melaksanakannya adalah Iceland yang telah bermula seawal Tahun 1970an, Norway, Finland, Sweeden dan Kanada.
Menurut Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) yang turut berucap di majlis itu, lelaki dan wanita mempunyai keperluan, situasi kehidupan dan cabaran yang berbeza bergantung kepada faktor demografi seperti umur, tempat tinggal, status perkahwinan, etnik, budaya dan agama.
Misalnya, lelaki dan wanita mempunyai ketidaksamaan peluang dan akses yang jelas kepada kuasa, kepimpinan dan pekerjaan, kata beliau.
Agenda pengarusperdanaan gender ialah suatu strategi dalam pembuatan keputusan yang mengambil kira perspektif lelaki dan wanita dalam merangka, mengimplementasi dan menilai polisi dan program yang dilaksanakakan di di kesemua peringkat kerajaan.
Agenda ini, katanya, sangat kritikal bagi memastikan semua golongan menerima manfaat yang sama ke arah mewujudkan kesaksamaan gender.
Maklumat tentang sumbangan, keutamaan dan keperluan lelaki dan wanita dalam setiap polisi dan program perlu diperhalusi dan dianalisis oleh sebuah jawatankuasa khas yang dilantik bagi memantau penerapan pengarusperdanaan gender.
Usaha untuk melaksanakan strategi mengarusperdanakan gender perlu digalas oleh pembuat keputusan, pemimpin di peringkat pentadbiran Kerajaan, agensi dan jabatan.
“Maka di sinilah peranan penting yang akan dimainkan oleh Exco-Exco perintis, ketua-ketua jabatan dan agensi serta para pegawai GFP/T yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengenalpasti, mengkaji dan menilai adakah polisi dan program di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri dilaksanakan mengambil kira perspektif gender,” kata beliau.
Selangor telah memilih dua Exco Kerajaan Negeri sebagai Exco Perintis projek ini iaitu Ng Sze Han dan Ganabatirau.
Pengarah-pengarah jabatan dan agensi yang terpilih sebagai perintis juga dilantik bagi pelaksanaan Projek Pengarusperdanaan Gender untuk tahun kedua ini.