Selebriti ditahan bersama ganja rupanya pelawak, polis sahkan ini identitinya

Oleh MALAYSIADATELINE

Teka-teki mengenai identiti sebenar selebriti lelaki yang ditahan polis, petang semalam di sebuah rumah teres di Cyberjaya, Selangor kerana disyaki memiliki dadah jenis ganja akhirnya terjawab hari ini.

Pihak polis sebentar tadi mengesahkan bahawa pelawak dikenali sebagai Along Cham atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad adalah selebriti tempatan yang ditahan.

Memetik laporan Kosmo, perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman yang turut memaklumkan bahawa pelawak berusia 41 tahun terbabit bakal ditahan reman hari ini.

Selebriti itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Terdahulu, polis pada malam Sabtu mengesahkan pihaknya telah menahan seorang selebriti lelaki kira-kira pada pukul 3.10 petang kerana disyaki memiliki dedaun kering disyaki ganja seberat 60.3 gram.

Pelawak berkenaan ditahan bersama dua paket lutsinar disyaki dadah jenis ganja selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Jenayah IPD Sepang membuat serbuan di kediamannya, petang semalam.

Dua paket lutsinar itu mengandungi leraian disyaki daun ganja anggaran berat keseluruhan 60.3 gram manakala hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Hasil siasatan polis juga mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah dan sekiranya disabit kesalahan, selebriti itu boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang dari lima tahun dan dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Sebelum ini, pengguna media sosial tempatan membuat pelbagai tekaan mengenai identiti sebenar selebriti yang ditahan bersama dadah itu termasuklah ‘memetik’ nama pelakon dan sebagainya.

Baca juga: Program salawat berupa konsert buat ramai ‘gerun’, netizen Indo dan Malaysia berbalah