Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan (MOF) telah menubuhkan satu lagi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk membina dan memiliki rangkaian 5G di seluruh negara yang akan menelan belanja sebanyak RM15 bilion.
Model operasi ini berbeza dengan apa yang dilaksanakan di Malaysia bagi rangkaian 3G dan 4G terdahulu dan amalan di negara lain di mana spektrum 5G dilelong kepada syarikat-syarikat telekomunikasi sekali gus mewujudkan persaingan dan meraih pendapatan kepada Kerajaan.
Dakwaan kerajaan bahawa dengan penubuhan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi mengurus dan menjadi pembekal utama rangkaian 5G bakal menawarkan harga yang lebih murah dan kelajuan yang lebih baik adalah satu kenyataan yang tidak tepat.
Dengan wujudnya DNB, ianya merupakan satu kos tambahan kerana DNB perlu menyewa infrastruktur-infrastruktur milik orang lain atau membina infrastruktur baharu.
Jika syarikat-syarikat telekomunikasi sendiri yang membangunkan rangkaian 5G, kos dapat dikurangkan kerana penyedia telekomunikasi sudah mempunyai infrastruktur sedia ada dan mereka juga boleh berkongsi rangkaian sesama sendiri.
Negara seperti Kenya, Rusia dan Afrika Selatan sudah tidak lagi mengamalkan polisi Single Wholesale Network (SWN), manakala Belarus, Mexico dan Rwanda mencatatkan kerugian yang besar hasil pelaksanaan polisi seperti itu.
Malah, DNB juga akan menimbulkan risiko-risiko lain kepada industri tempatan dan pengguna seperti keselamatan dan ketahanan rangkaian 5G yang boleh menjurus kepadasingle point of failure jika rangkaian 5G ini tidak dibina dan diurus dengan baik.
Tanpa wujudnya jualan dengan terma komersial untuk rangkaian spektrum 5G, Kerajaan dijangka kehilangan potensi keuntungan RM5 bilion yang dibuka untuk pembelian oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sedia ada.
Pada tahun 2016, Kerajaan mampu mengutip keuntungan lebih RM7 bilion hasil jualan rangkaian spektrum antara 900MHZ dan 1800MHZ tanpa sebarang kos bagi menubuhkan apa-apa syarikat milik kerajaan.
Penjualan spektrum 5G kepada syarikat telekomunikasi swasta telah memberikan keuntungan kepada kerajaan Thailand sebanyak RM12 bilion dan Bangladesh sebanyak RM3.5 bilion. Di kala Kerajaan berkata negara sudah tiada wang, kenapa cara sebegini yang menguntungkan negara tidak digunakan?
Sebaliknya dengan penubuhan DNB, Kerajaan terpaksa membelanjakan RM15 bilion dengan cara berhutang atau penerbitan bon yang dijamin Kerajaan.
Oleh kerana DNB ini milik penuh Kementerian Kewangan, maka yang terpaksa membayar hutang ini adalah
rakyat Malaysia jika pengurusan kewangan dan operasi DNB gagal diurus dengan baik.
Setakat ini, hampir RM180 juta duit rakyat sudah disuntik kepada DNB, dan dianggarkan sebanyak RM300 juta lagi akan disalurkan dalam masa terdekat. Ketika rakyat tidak ada makanan dan pekerjaan, ini adalah pembaziran yang amat jelek.
Bagi menyediakan infrastruktur rangkaian 5G, DNB telah memberikan kontrak sebesar RM 11 bilion kepada sebuah syarikat tunggal, iaitu Ericsson.
Dengan menyedari fakta bahawa DNB adalah milik penuh kerajaan Malaysia melalui MOF, apakah pelan pembayaran hutang bagi tujuan perbelanjaan untuk membina rangkaian 5G ini?
Tambahan pula, ia bakal meletakkan risiko kerugian nilai kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dalam negara yang telah sedia ada memiliki infrastruktur dan spektrum antara aset utama mereka.
Risiko kerugian syarikat-syarikat telekomunikasi sedia ada bakal juga bakal memberikan impak kepada institusi negara seperti KWSP, PNB dan Tabung Haji yang memiliki sejumlah besar saham dalam syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut.
Kerajaan Malaysia melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan juga telah sedia ada mempunyai pemilikan saham strategik dalam Telekom Malaysia, Axiata, Celcom dan Digi.
Apakah wajar untuk menubuhkan satu lagi syarikat baru dalam industri yang sama dengan dana dari pasaran modal yang dijamin Kerajaan? Bukankah ianya hampir menyamai modus operandi 1MDB dahulu sehingga merugikan Kerajaan dan rakyat Malaysia?
Kebimbangan ini bertambah apabila Fitch telah menurunkan kadar penarafan sektor telekomunikasi Malaysia pasca pengumuman perancangan 5G dengan menggariskan beberapa isu seperti ‘kurang ketelusan’ dan ‘kurang penglibatan sektor swasta’.
Dalam suasana negara yang sedang bergelut dengan pemulihan pasca Covid-19 dan kedudukan kewangan negara yang sangat kritikal, Kerajaan tidak seharusnya membuat perancangan berisiko sebegini sehingga mampu meletakkan tahap kewangan negara bertambah terancam.
PEJUANG Muda Malaysia dan Biro Perbendaharaan & Komunikasi PEJUANG ingin menggesa Kerajaan untuk menghentikan serta membatalkan rancangan penubuhan DNB untuk tidak mempertaruhkan masa depan negara, terutamanya masa depan ekonomi dan industri digital Malaysia.
* DR ABU HAFIZ SALLEH HUDIN merupakan Ketua Pejuang Muda Malaysia, Pejuang.