“Selepas jururawat itu hadir Atuk mula malas solat, tidur lepas Asar dan bangun lewat pagi”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita mula merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki yang dipanggilnya ‘atuk’ sejak neneknya meningggal dunia.

Tidak hanya sering melambat-lambatkan waktu beribadah, datuk wanita itu juga sering memindahkan wang sebanyak RM2,000 setiap bulan kepada seseorang.

Kejutnya bukan kepalang, wanita itu langsung tidak menjangka bahawa jururawat yang diupah untuk menjaga neneknya sebelum ini adalah penerima duit berkenaan.

Berikut kami kongsikan konflik yang terpaksa dihadapi oleh sebuah keluarga selepas seorang jururawat hadir bersama satu ‘misi’ untuk menganggu kehidupan mereka.

“Aku harap apa yang diceritakan ini menjadi pengajaran agar orang di luar sana lebih berwaspada sebelum mengupah jururawat peribadi. Dia seorang wanita yang tinggi lampai, bertudung, dan nama macam ada campuran seberang. Aku panggil Ideyla (bukan nama sebenar). Aku mohon maaf seandainya cerita ini mengelirukan.

“Arwah Nenek aku strok (angin ahmar). Jadi anak-anak gajikan seorang jururawat peribadi. Ditugaskan untuk mandikan, suap makanan dan tukar lampin sahaja. Tiada rawatan fisioterapi dilakukan. Itu sahaja kerja dia. Maksudnya selepas waktu malam Nenek, dia hanya duduk sahaja.

“Nenek aku masa itu sudah uzur kerja. Tahap tak diwajibkan solat dan puasa. Jadi kebanyakkan waktu dia hanya tidur. Ideyla dibayar satu jam RM50. Paling minimum dia pernah kerja empat jam. Dengan kata lain dalam sehari, gaji bersih dia boleh dapat lebih daripada RM200 sehari.

“Alhamdulillah keluarga kami mampu untuk menyediakan servis yang terbaik untuk Nenek kami. Ideyla akan datang setiap hari pada waktu pagi dan petang kecuali di hujung minggu. Kalau ikutkan gaji dia untuk sebulan, kalah orang kerja pejabat. Sambil bertugas di rumah kami, Ideyla juga kerja di rumah penjagaan orang tua.

“Selama tiga bulan bekerja, kami berpuas hati walaupun ada benda pelik dari segi peribadinya. Dia sangat ringan mulut dan ceria. Tinggi macam model dan bertudung. Katanya, budak sekolah agama. Tutur bicara dia juga boleh ambil hati orang. Setiap hari anak-anak akan jaga Nenek selepas kerja dan hari minggu.

“Jadi kami ambil Ideyla ini untuk jaga Nenek ketika waktu bekerja sahaja. Selepas tiga bulan Ideyla jaga, Nenek aku meninggal dunia. Mohon pembaca sedekah Al-Fatihah untuk arwah Nenek aku. Jadi setelah Nenek meninggal, Allah tunjukkan sifat sebenar Ideyla pada hari pengebumian.

“Ketika itu, kami berada di kawasan perkuburan. Setelah Nenek dikebumikan, kami beransur pulang. Alhamdulillah ramai kenalan dan rakan handai menghadirkan diri bagi memberi penghormatan terakhir. Kenalan-kenalan atuk dan Nenek datang dari kalangan mereka yang ‘berjaya’.

“Semasa nak pulang, tiba-tiba Ideyla tegur aku dengan muka teruja untuk bertanya siapakah gerangan tetamu yang datang. Aku hanya jawab acuh tak acuh kerana seih dan kepenatan. Aku pun tidak begitu mengenali mereka. Tidak berpuas hati, Ideyla mendengus kepada aku, ‘Hish, itu pun tak tahu, baik tanya orang lain’.

“Sejujurnya aku terkejut dan pelik. Kenapa Ideyla perlu bertanya soalan itu dengan perasaan gembira? Kenapa pula perlu marah aku? Tetapi apabila difikirkan semula, bagi aku Ideyla rasa ‘teruja’ melihat sahabat atuk dan Nenek yang menaiki kereta berjenama. Sama ada dia materialistik atau cuba untuk mencari mangsa.

“Malangnya ldeyla terus mengganggu Atuk. Keluarga kami sudah tidak mengambil dia bekerja kerana Nenek sudah meninggal. Sebagai manusia yang normal dan sihat akalnya, Ideyla perlu tahu dimana sempadan dia. Namun, Ideyla memaksa-maksa setiap ahli keluarga untuk mengambil dia bekerja di rumah kami sendiri.

“Katanya boleh menjadi pembantu rumah, lipat kain atau sebagainya. Kami penat kerana perlu menghadapi manusia yang kurang akal sihatnya dan tidak memahami bahasa manusia. Tidak dapat ahli keluarga, dia mula menumpukan seratus peratus target pada Atuk. Malam-malam dia akan telefon Atuk. 

“Hampir setiap malam mereka berhubung. Ini tidak normal. Pernah kami cuba block (sekat) nombor dia daripada telefon Atuk. Tidak kami sangka, beberapa hari selepas itu Ideyla datang bersama sepupunya ke rumah Atuk. Bagi saya, menarik betul ‘ketebalan’ muka Ideyla ini.

“Hadirnya ke rumah Atuk, Ideyla mula membuat cerita sedih dan bertanya kenapa dia tidak dapat menghubungi Atuk. Kami bernasib baik kerana ahli keluarga masih berada di rumah Atuk. Bapa dan ibu saudara aku memberitahu dengan tegas dan jelas untuk tidak bertemu atau menghubungi Atuk 

“Tugas Ideyla sudah berakhir. Jadi, apa tujuan dia masih nak menempel pada Atuk? Sudah jelas Ideyla ini memang tidak mempunyai niat yang baik. Ingatkan selepas itu, Ideyla sudah berhenti. Malangnya, dia masih menghubungi Atuk. Setiap bulan dia menerima wang dalam jumlah yang banyak. Setahu saya, tidak kurang dari RM2,000.

“Bagaimana dia dapat? Macam biasa, dia membuat cerita sedih kepada Atuk. Anak nak ambil lesen keretalah, tiada duit nak pinjaman keretalah. Pelbagai cerita sedih dia taburkan kepada Atuk. Dijadikan cerita, apabila kami selidik, dia rupanya memiliki kenderaan biasa dan juga kereta Mercedes. 

“Rumah Ideyla juga luar biasa, tinggal di kediaman dua tingkat. Sebelum ini semasa Nenek masih ada, Ideyla pernah buat cerita sedih pada Atuk kononnya mahu hantar anak ke Kuala Lumpur. Tetapi dia perlu naik motor, tiada kereta. Aku dah pelik. Aku tahu ada orang yang betul susah, tetapi cara dia bercakap itu sangat mencurigakan.

“Atuk macam biasa, berikan dia wang belanja. Ideyla siap bawa anaknya datang ke rumah Atuk. Jadi aku terfikir adakah dia tengah mengemis menggunakan anak dia? Apalah yang dirasakan oleh anak perempuannya itu? Banyak juga perkara yang kami dapat ketahui. Kami mendapat maklumat anaknya juga seorang pembuli di sekolah.

“Setiap minggu, pasti sehari Ideyla akan datang ke rumah Atuk. Lebih menarik, dia akan datang ketika kami tiada di rumah, ketika waktu bekerja. Tetapi aku tidak tahu mana letaknya maruah dan harga diri Ideyla, kerana dia masuk ke dalam rumah yang mempunyai seorang lelaki yang bukan mahramnya.

“Kepada suami Ideyla, selama ini dia memberitahu kami bahawa anda merupakan suami yang sangat tidak bertanggungjawab. Anda larikan diri dan membuatkan dia tergantung tidak bertali. Jadi dia menggunakan nama anda untuk menagih simpati dan mengemis wang daripada Atuk saya. Jadi anda memang dayus sebegitukah?

“Semasa Nenek masih ada, Ideyla pernah cuba menagih simpati pada Ayah dan Pak Cik. Alhamdulillah, mereka jenis yang tidak membaca WhatsApp dan setia pada yang satu. Jadi Ideyla ini macam sampah saja di mata mereka. Kami lihat keluarganya nampak macam baik-baik. 

“Jadi saya mohon kepada sesiapa yang mengenali beliau, tolong bantu kami untuk hentikan perbuatannya. Tegurlah dia. Pada suami Ideyla, didiklah isteri anda. Di sini aku belajar satu benda. Biasanya orang yang menagih simpati ini tidak mempunyai niat yang baik. Tengok keadaan, kau cerita sedih itu dekat siapa.

“Pada orang yang berlainan jantina atau bukan keluarga sendiri? Banyak aku dengar, inilah trickorang-orang yang perampas. Jadi kepada pembaca, berhati-hati apabila mendengar luahan hati orang. Walaupun rakan sekerja. Pada para wanita, lari sejauh boleh jika suami orang bercerita tentang keburukan atau masalah rumah tangga dia.

“Kepada lelaki, sekiranya wanita mengadu meluah hati kepada anda, larilah juga. Sesungguhnya dia sudah pasti tidak mempunyai nurani yang baik. Kalian perlu ingat, sekiranya mereka mampu bercerita buruk tentang keluarga, anak isteri mereka kepada anda, adakah mereka orang yang baik, telus dan bertanggungjawab?

“Jangan mudah kasihan dan jadilah bijak dan profesional. Pembaca mesti ada yang menyalahkan Atuk kerana melayan Ideyla. Mari saya kongsikan cerita seterusnya. Selepas pemergian Nenek, Atuk menjadi berbeza. Pada awalnya kami ingat Atuk berada dalam fasa sedih atas pemergian isteri tercinta.

“Tetapi peribadi Atuk mulai menjadi janggal dan perkara ini menjadi lebih teruk. Atuk lambat solat, tidur selepas Asar, bangun lewat pagi. Ini bukan Atuk yang kami kenal. Jadi anak-anak Atuk memanggil ustaz dan kami berusaha membuat rawatan. Benar kata perawat, Atuk terkena guna-guna. Sehingga sekarang, keluarga kami diganggu.

“Segala perbuatan syrik itu, biarlah antara Ideyla dan Allah. Insya-Allah, Tuhan itu Maha Esa. Allahuakhbar. Niat saya menulis untuk mengingatkan kepada pembaca agar berhati-hati dengan manusia. Berhati-hati dalam mencari penjaga ibu bapa anda. Ada yang baik, tetapi rambut sama hitam, hati lain-lain.

“Saya mohon panjatkan doa kepada Allah untuk kesejahteraan dan perlindungan keluarga kami. Semoga pembaca juga dilindungi daripada hati-hati yang berhasad dengki. Sampai di sini sahaja. Cukuplah bagi kami Allah, sebaik-baiknya pelindung dan sebaik-baiknya penolong kami.” Kongsi wanita itu di forum luahan atas talian.

Baca juga: Cari orang tak pernah tengok Star Wars, syarikat sanggup tawar hampir RM5K untuk tonton semua siri