Isu Pulau Batu Puteh yang baru-baru ini dimainkan oleh pemimpin Umno adalah cubaan untuk mengalihkan isu sebenar berkenaan kelemahan pentadbiran mereka.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Serudin Soud berkata kelemahan Umno menguruskan pentadbiran kerajaan negeri Melaka antara faktor parti itu menuding jari ke arah Pakatan Harapan (PH) dalam isu sebutan kes Pulau Batu Puteh.
Beliau turut menempelak mantan Menteri Besar (MB) Johor, Mohamed Khaled Nordin yang tidak rasional dengan menuduh pihak lain, lapor Johorkini.
Baru-baru ini, empat Exco Melaka termasuk dua dari Umno yang dipimpin bekas ketua menteri, Datuk Idris Harun menarik balik sokongan mereka kepada ketua menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Tindakan ini menyebabkan kerajaan Melaka jatuh dan menyebabkan Yang Dipertua Negeri Melaka membuat keputusan menerima cadangan agar DUN Melaka dibubarkan.
Kelemahan pentadbiran Umno Melaka yang penuh dengan pelbagai penyelewengan didakwa sebagai puncanya.
Ekoran itu, isu Pulau Batu Puteh dibangkitkan oleh Umno dengan mendakwa ia berlaku ekoran dari tindakan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.