Pembentangan Belanjawan 2022 yang dibentang pada Jumaat lalu disifatkan lebih tertumpu kepada keperluan masyarakat bandar berbanding peruntukan untuk ekonomi luar bandar yang boleh menyebabkan kumpulan ini teruk terjejas, kata Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar AMANAH.
Anggotanya, Faiz Fadzil berkata, peruntukan perbelanjaan pembangunan yang hanya meningkat sebanyak RM359 juta kepada RM7 bilion, tidak mencukupi bagi membangunkan kawasan luar bandar dan merangsang ekonomi rakyat di kawasan tersebut.
Justeru beliau menggesa agar peruntukan tersebut disemak semula dalam usaha mencapai kemakmuran bersama yang lebih adil dengan merapatkan jurang kemiskinan segmen bandar dan luar bandar.
“Ini adalah kerana, data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa gaji dan upah penengah di luar bandar telah jatuh sebanyak 14.1 peratus untuk tahun 2020, berbanding 11.6 peratus untuk pekerja di kawasan bandar.
“Selain itu, negeri-negeri yang mempunyai saiz kawasan luar bandar yang signifikan telah menyaksikan meningkatnya tahap kemiskinan.
“Kelantan, misalnya yang mana hampir separuh isi rumahnya tinggal di kawasan luar bandar, mencatatkan peningkatan kemiskinan mutlak yang ketara kepada 21.2 peratus pada tahun 2020 berbanding 12.4 peratus (2019).
“Terengganu juga menyaksikan peningkatan kemiskinan mutlak kepada 12 peratus berbanding 6.1 peratus (2019),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faiz yang juga ADUN Permatang Pasir berkata, peruntukan untuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan sekali gus boleh merencat usaha ke arah meningkatkan keselamatan makanan (food security).
Katanya, subsidi untuk sektor pertanian dan perikanan kekal tidak berubah sebanyak RM1.7 bilion.
Bahkan kerajaan juga gagal memberikan perhatian serius dalam meningkatkan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian di mana hanya setakat RM120 juta diperuntukkan untuk usahawan berteraskan teknologi.
“Jmlah ini tidak cukup untuk mengukuhkan jaminan bekalan makanan. Negara tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada bekalan makanan import yang kini melangkau lebih RM50 bilion setahun.
“Kerajaan harus memastikan lebih banyak pembekal atau ‘vendor’ untuk industri-industri penting diwujudkan di kawasan luar bandar.
“Ini bagi mengukuhkan rantaian bekalan atau “supply chain” ekosistem perniagaan dan industri Malaysia terutama sektor pertanian. Pelaburan awam serta swasta di kawasan luar bandar harus dipertingkatkan,” ujarnya lagi