“Seminggu tak cukup tidur” – Sahabat minta doakan Khairul Aming, rebah lepas alami cirit-birit

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan usahawan dan pempengaruh, Khairul Aming sedang terlantar lemah di atas sebuah katil dipercayai sedang menerima rawatan di sebuah klinik swasta.

Dalam rakaman berdurasi 29 saat itu, Khairul Aming juga kelihatan seperti sedang menahan sakit ketika menerima rawatan ‘Iv Drip’ dipercayai bagi merawat dehidrasi ekoran kekurangan air di dalam badan.

Rakaman tersebut dimuat naik di platform TikTok melalui akaun @mrcosec yang dimiliki oleh salah seorang sahabat Khairul Aming dengan harapan orang ramai mendoakan usahawan berkenaan.

“Doakan Khairul Aming. Khairul Aming rebah ‘guys’, penat sangat. Seminggu tak cukup tidur. Sama-samalah kita mendoakan semoga beliau cepat sembuh,” katanya di ruangan kapsyen.

@mrcosec

Semoga @Khairulaming cepat sembuh Allah sayang orang baik #khairulaming #banjirkelantan

♬ Very Sad – Enchan

Tinjauan di pelbagai platform media sosial mendapati rata-rata pengguna berkongsi rasa simpati terhadap keadaan Khairul Aming dan mendoakan agar usahawan berkenaan diberikan kesembuhan dengan segera.

Ramai juga pengguna tampil memberikan peringatan kepada usahawan kelahiran Kelantan itu untuk menjaga kesihatannya selain mendapatkan rehat yang cukup selepas ini.

Sebelum ini, Khairul Aming melakukan siaran langsung di akaun TikTok miliknya bersama ahli jawatankuasa dan sukarelawan yang terbabit di dalam menjayakan misi bantuan banjir di Kelantan, baru-baru ini.

Dalam sesi siaran langsung yang disaksikan oleh ramai pengikutnya itu, usahawan terbabit sudah kelihatan tidak bermaya dan mengadu sakit perut selain mengalami cirit birit.

Terdahulu, usahawan berusia 32 tahun itu mengelolakan misi bantuan banjir selama seminggu tanpa henti dengan mengagihkan makanan dan barangan keperluan untuk mangsa yang terjejas di sekitar Kelantan.

Pempengaruh terbabit tidak membuka sebarang tabung untuk orang ramai memberikan sumbangan wang ringgit sebaliknya mendapatkan kerjasama daripada kenalan dan sukarelawan.

Misi bantuan tersebut berjaya mendapat perhatian ramai hingga pelbagai syarikat, usahawan kecil dan masyarakat di seluruh Malaysia termasuk negara jiran tampil memberi sumbangan berbentuk barangan keperluan.

Khairul Aming bagaimanapun terpaksa menamatkan misi bantuan tersebut pada Rabu, 4 Disember lalu atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Baca juga: Patutlah pekat ‘slang’ Kelate, Bos Mydin rupanya membesar di daerah ini