Agar-agar kering merupakan sejenis manisan tradisional yang cukup terkenal suatu ketika dahulu terutamanya di kalangan masyarakat Melayu.
Walaupun dikenali sebagai ‘kuih orang lama’, namun manisan ini nampaknya kembali meraih populariti dengan kehadirannya di pelbagai platform beli belah di atas talian.
Berikutan tidak ramai peniaga yang masih menjualnya, agar-agar kering ini seringkali ditawarkan dengan harga agak tinggi meskipun kuantiti manisan tersebut hanyalah sedikit sahaja.
Oleh yang demikian berikut kami kongsikan langkah-langkah menyediakan manisan tradisional itu berdasarkan satu hantaran dikongsikan oleh seorang lelaki bergelar suami di platform Facebook.
“Ada lagi ke yang suka kuih-kuih tradisional macam ini? Abang hanya tolong isteri susun dalam bekas sahaja. Kalau nak resepi, abang tanya isteri ya,” seloroh pemilik akaun bernama Hamizan Sulaiman itu.
Bahan-bahan:
- 60 gram agar-agar tali
- 1500 milimiter air
- 1500 gram gula pasir (atau satu kilo setengah)
- 250 gram gula batu
- Pewarna dan perasa
Langkah-langkah menyediakan agar-agar kering:
1. Mula-mula cuci agar-agar tali seketika sebelum memasukkannya ke dalam periuk. Kemudian, tambah air dan masak di atas dapur sehinggalah agar-agar tersebut cair.
2. Selepas itu, masukkan pula gula batu dan gula pasir ke dalam periuk dan tunggu sehingga mendidih. Jangan lupa kacau dan pastikan keseluruhan gula menjadi larut.
3. Kemudian tutup api sebelum tuangkan agar-agar tersebut ke dalam loyang pilihan dan tambahlah pewarna mengikut selera anda. Lalu, kacau hingga semuanya sebati.
4. Biarkan agar-agar kering itu keras seketika. Setelah memastikan ia bertukar keras, bolehnya potong kecil-kecil mengikut kreativiti sebelu jemur di luar sehingga kering.
5. Apabila sudah kering, bolehlah letakkan semua agar-agar kering yang sudah siap ke dalam balang. Sudah tentunya boleh segera dimakan atau dihidangkan!
“Pesanan tambahan, silalah ikut kreativiti anda. Isteri abang tuang ke dalam acuan,” katanya sambil menunjukkan hasil buatan orang rumahnya menerusi beberapa keping gambar.