“Semua benda aku tanggung, aku pelik mana hilang gaji suami, sekali dia kantoi curang…”

Oleh MAISARAH AISYA

Masih ada yang mengambil kesempatan apabila melihat isteri bekerja hingga melepaskan segala tanggungjawab dan nafkah.

Tugas isteri adalah untuk meringankan beban bukan menanggung sepenuhnya dan suami pula sibuk mencari pasangan baru.

Seorang wanita memaklumkan sepanjang perkahwinan, dia yang menanggung suami dan keluarga dek kerana tangga gaji yang lebih besar.

Di bawah adalah kisah yang dimuat naik melalui stau portal luahan perasaan atas talian.

Aku wanita bekerjaya berumur 30-an, sudah berkahwin dan suamiku sebaya. Suami kerja kerajaan tingkat gaji 48 dan aku kerja swasta, gaji aku 3 kali ganda lebih dari gaji suami.

Kami punyai empat anak, beberapa rumah, kereta dan seorang pembantu di rumah. Aku rasa memang dugaan isteri yang bekerja.

Aku tidak dinafkahi secukupnya dengan alasan ada duit sendiri, lebih-lebih lagi gaji akulagi banyak dari gaji suami.

Bayar loan rumah, kereta, cukai tanah, cukai pintu, bil elektrik, air, bayar untuk keperluan rumah, barang dapur.

Tak cukup tu, segala kelas tambahan anak-anak, duit belanja harian ke sekolah, persiapan raya dan percutian semua isteri yang sediakan.

Untuk tak bagi tekanan pada mental aku, aku sanggup upah pembantu rumah, gaji dia aku bayar, segala hal rumah dia uruskan tapi bab masakan aku yang buat.

Tak tahu kemana duit suami, aku tak pernah tanya pinjaman apa dia pernah buat, untuk apa, dia pun susah nak buat pinjaman baru walaupun dia kerja kerajaan.

Maknanya, komitmen dia tinggi tapi tak tahu kenapa sedangkan majoriti aku yang bayar sejak awal kahwin lagi. Aku tak pernah tanya sebab aku malas nak bergaduh.

Lepas aku gugur anak ketiga, mentua tambah tekanan untuk aku sampailah aku buat keputusan nak mengandung lagi.

Tapi, aku rasa sebab niat jahat aku ni, lepas anak lahir dan baru berusia dua bulan, suami aku kantoi curang.

Suami aku menangis-nangis minta maaf tapi aku susah sangat nak lupakan. Aku sangatlah tak tenang lepas kejadian tu dan aku rasa ini kifarah yang aku dapat.

Aku rasa aku dah berkorban banyak dah untuk keluarga ni. Semua masa, tenaga dan duit tapi ini balasan suami dekat aku.

Lepas kantoi aku jadi sangat berkira dengan segala perbelanjaan, duit nafkah pun tak bagi, ada hati nak curang.

Aku plan untuk kurangkan pengeluaran duit aku, tapi aku tak kuat. Aku tak nak anak-anak aku rasa kekurangan dan suasana pun penuh negatif kat rumah.

Aku sedar aku tak boleh kawal semua benda dan perlu berlapang dada. Aku solat taubat, tahajud, mengaji, belajar bersyukur semua tapi masih sedih.

Baca juga: “Adik sibuk kongsi petua sebab dia mengandung dulu, padahal aku dah puas ikhtiar”