Semua calon Umno tetap wajib jadi ‘budak-budak Zahid’, kata Wan Saiful

Oleh ARIF ATAN

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menempelak Umno dengan mengaitkan peranan pemimpin dari ‘kluster mahkamah’ dalam penentuan calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berpendapat Umno nampaknya tercari-cari helah untuk membuang imej kluster mahkamah yang antaranya terpalit pada Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, Wan Saiful menjangkakan salah satu strategi Umno untuk membuang imej kluster mahkamah ialah dengan meletakkan muka-muka baharu sebagai calon bertanding.

“Mereka akan kata bahawa dengan muka-muka baru itu menunjukkan kononnya Umno ada imej baru.

“Mereka akan cuba sembunyikan fakta bahawa untuk menjadi calon Umno, semuanya terpaksa sujud kepada Zahid kerana hanya Zahid seorang saja ada kuasa tandatangan watikah calon.

“Walaupun muka baru, semua calon Umno tetap wajib menjadi budak-budak Zahid. Kalau tak sokong kluster mahkamah, mustahil Zahid akan beri watikah calon kepada mereka,” tegasnya dalam hantaran di Facebook.

Untuk rekod, Ahmad Zahid, 69, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berdepan dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 4 Februari lalu, Ahmad Zahid dalam Pelancaran Jentera BN Pusat Operasi Zon Barat di Iskandar Puteri berkata, parti itu akan menampilkan calon yang tidak menggunakan ‘kabel’ sebaliknya mempunyai sifat WALI, iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) dan ‘likeable’ (disukai).

Mengulas lanjut, Wan Saiful berpendapat kluster mahkamah Umno akan menggunakan sepenuhnya kuasa watikah itu untuk memastikan semua calon di Johor adalah “orang Zahid” yang menyokong kluster mahkamah.

“Tidak mungkin Zahid akan calonkan kluster “Umno soleh” yang mungkin akan melawan dia nanti.

“Mengaku sajalah bahawa Umno sedang diperkudakan sepenuhnya oleh Zahid dan Najib untuk kepentingan peribadi mereka.

“Kalau Umno betul-betul nak berubah, bukan buang imej, tapi buang kluster mahkamah tu!” kata Wan Saiful lagi yang buat pertama kalinya bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetapi tewas di Parlimen Pendang.

Dia sebelum ini sememangnya dilihat lantang terhadap Umno biarpun Bersatu berada dalam kerajaan yang diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah, Wan Saiful telah mengingatkan bahawa kumpulan yang mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ialah Bersatu bukannya Umno.

“Kita kena ingat Ismail yang menjadi Perdana Menteri hari ini, bukan dicalonkan Umno.

“Kalau Umno silap-silap dia nak Zahid Hamidi. Nak Zahid?

“Pening kepala nak jawab tetapi itulah hakikatnya,” katanya pada kempen ceramah Perikatan Nasional (PN) di Muar yang disiarkan secara langsung di Facebook Penerangan Bersatu pada 2 Februari lalu.