“Sengaja tak bayar hutang, boleh pula peraga kemewahan di media sosial” – Pengerusi Mara

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengerusi Majlis Amanah Raya (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa agensi berkenaan tidak akan memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap para penghutang yang culas atau gagal membayar pinjaman.

Perkara ini termasuklah tindakan perundangan terhadap peminjam yang culas berikutan agensi itu tidak bertindak sewenangnya ekoran terikat dengan prosedur dan proses yang ketat menurut lunas undang-undang.

Bagaimanapun sebelum tindakan perundangan diambil, nilai ihsan juga diutamakan oleh Mara dengan memberi ruang kepada peminjam bermasalah untuk berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang.

“Namun jika semua usaha ini masih culas dan (peminjam) sengaja tidak mahu membayar atau berlengah-lengah walaupun berkemampuan bahkan boleh pula memperagakan kemewahan di media sosial, MARA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan.

“Bermakna tindakan perundangan adalah jalan terakhir untuk memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain pula,” kata Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Difahamkan, kenyataan tersebut dibuat untuk mengulas isu kegagalan seorang pelakon terkenal dalam membayar pinjaman mencecah RM1 juta sehingga pegawai Mara bertindak menyerbu kediaman mewahnya semalam.

Tindakan itu dilakukan oleh Mara supaya pihaknya boleh menilai harga barangan dalam kediaman pelakon berusia 51 tahun terbabit untuk tujuan penyitaan berikutan gagal membayar pinjaman.

Namun jumlah nilaian barang untuk disita yang berada di dalam kediaman itu tidak cukup untuk melangsaikan hutang ekoran ada sumber mendakwa pelakon terbabit sudah membawa barangan keluar sebelum serbuan dilakukan.

Dalam hantaran berikutnya, Asyraf Wajdi turut berkongsi hadis riwayat Ibn Umar mengenai kewajiban umat Islam menyelesaikan amanah untuk membayar hutang walaupun selepas kematian.

Oleh yang demikian, Asyraf Wajdi menyeru kepada umat Islam supaya sentiasa berusaha melangsaikan hutang dan mengambil tanggungjawab penuh terhadap amanah berkenaan.

“Dosa orang yang berhutang tidak akan diampun walaupun mati syahid. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, ‘Semua dosa orang yang mati syahid akan diampun kecuali hutang’.” Kongsinya.

Baca juga: Gagal bayar pinjaman Mara cecah RM1 juta, rumah Rozita Che Wan diserbu atas tujuan sita