Seremban Sentral Capai Kemajuan 35 Peratus, Dijangka Siap Mac 2027 – Loke

Oleh BERNAMA

Projek pembinaan stesen baharu kereta api Seremban Sentral yang bakal menjadi hab pengangkutan moden bersepadu di bandar ini mencapai kemajuan 35 peratus setakat ini dan dijangka siap menjelang Mac, 2027.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerja paling mencabar termasuk pembinaan cerucuk (piling) dan pengalihan utiliti bawah tanah telah disiapkan sekali gus membolehkan kadar pembinaan dipercepatkan.

“Pada peringkat awal, kerja agak perlahan..ini kerana kerja piling itu memakan masa lama dan mereka perlu mendapat lokasi piling yang sangat tepat dan pendawaian, kabel dekat bawah tanah itu perlu dialihkan dan sebagainya, itu sebabnya kerja awalan memakan masa panjang.

“Selepas selesai, kerja pembinaan akan dipercepatkan termasuk pemasangan bumbung, struktur kaca dan kemasan lain..projek ini sangat mencabar, namun setelah lebih dua tahun, ia sudah masuk fasa yang mana piling sudah siap,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek Stesen KTMB Seremban, di sini, hari ini.

Beliau berkata projek bernilai hampir RM100 juta itu akan mengintegrasikan stesen KTMB Seremban yang berusia lebih 100 tahun dengan stesen baharu yang moden sekali gus mewujudkan sebuah hab pengangkutan lebih efisien dan mesra pengguna.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata stesen baharu itu direka berkonsepkan bangunan hijau dengan elemen seni bina berinspirasikan Minangkabau serta dilengkapi ruang komersial baharu.

Beliau berkata apabila siap, stesen itu mampu menampung sehingga 30,000 penumpang sehari pada peringkat awal selain mempunyai kapasiti untuk diperluaskan sehingga 120,000 penumpang sehari pada masa depan.

“Reka bentuk stesen ini menyediakan enam platform, kita bina tiga platform terlebih dahulu manakala tiga lagi boleh dibangunkan pada masa depan mengikut pertambahan permintaan penumpang.

“Stesen ini agak besar dan kita menjangkakan ia boleh menampung permintaan untuk mungkin 30 hingga 50 tahun akan datang..jadi apabila stesen ini siap, landasan berkembar siap, kita akan menambah kekerapan untuk komuter, ETS dan sebagainya untuk tarik lebih ramai tinggal di sini,” katanya. 

Beliau berkata stesen itu turut menyediakan dua laluan masuk dan kawasan menurunkan penumpang, masing-masing di bahagian hadapan Jalan Tunku Antah dan bahagian belakang stesen bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Ini adalah stesen yang sangat signifikan, projek penting untuk Kementerian Pengangkutan dan warga Seremban sekali gus menjadi mercu tanda baharu di Bandar Seremban. Selepas ini sudah tentu ia juga akan mengintegrasikan projek pembangunan mega berorientasikan transit (TOD) Seremban Sentral di belakang stesen ini,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata projek baik pulih Stesen KTMB Seremban telah siap sepenuhnya sejak bulan lepas dengan kerja konservasi melibatkan naik taraf pendawaian serta sistem elektrikal yang lebih moden bagi memastikan bangunan warisan berkenaan terus selamat dan berfungsi dengan baik.

Beliau berkata pihaknya turut melaksanakan skop tambahan membabitkan pembinaan sistem pembetungan baharu bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sebelum ini menjejaskan operasi stesen berkenaan.

Katanya, pembetung baharu itu akan mengalirkan air hujan terus ke Sungai Temiang tanpa melalui kawasan stesen sekali gus mengelakkan platform dan landasan ditenggelami air apabila hujan lebat.

Sementara itu, beliau berkata projek menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) kini mencecah kemajuan 55.8 peratus.

Loke berkata pengurangan kekerapan perkhidmatan komuter pada waktu tengah hari ketika ini adalah bagi membolehkan kerja pembinaan dilaksanakan dengan lebih pantas selepas salah satu landasan ditutup sementara untuk tujuan pembinaan. —BERNAMA.

Baca juga: BUDI95 dipuji kekang ketirisan, tular dakwaan penyeludupan petrol ke Thailand merosot