Shila Amzah rupanya pernah dikecam netizen China, hampir jadi mangsa nahas MH370

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi, Shila Amzah mula mencipta namanya di negara Tembok Besar China selepas menjuarai satu pertandingan nyanyian yang berlangsung di Shanghai iaitu Asian Wave 2012.

Sejak daripada itu, pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Hamzah itu terus mencipta kejayaan tersendiri di industri hiburan di negara tersebut malah meraih ramai peminat tempatan.

Namun siapa sangka di sebalik kejayaan tersebut, Shila juga pernah menempuh cabaran selama bergiat aktif di China apabila menjadi sasaran kecaman oleh masyarakat tempatan sekitar tahun 2014.

Ketika kejadian, berlaku satu tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) iaitu MH370 selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju Beijing pada 8 Mac 2014 lalu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Difahamkan, ramai mangsa di dalam pesawat MH370 itu adalah rakyat China dan Shila dikatakan turut terkena tempias apabila menjadi sasaran kecaman terutamanya melalui platform media sosial Weibo.

“Selepas kejadian itu, saya terus tak boleh tengok berita tentang pesawat. Sebagai rakyat Malaysia yang berada di China ketika itu, bukanlah sesuatu yang mudah.

“Artis Malaysia yang ada dalam aplikasi Weibo, memang kena kecam,” kata Shila dalam pendedahan menerusi satu sesi audio siar yang dikendalikan oleh suaminya iaitu pempengaruh dikenali sebagai Ubai.

Dalam program bual bicara tersebut, Shila berkongsikan pelbagai pengalaman peribadi selain turut menceritakan perjalanan dilaluinya sepanjang berkecimpung di industri hiburan di China.

Lebih mengejutkan, pelantun lagu Patah Seribu itu turut mendedahkan bahawa dirinya juga nyaris berada dalam pesawat MH370 untuk pulang ke tanah air semasa berada di Beijing, China.

“Waktu itu, saya tengah menjalani penggambaran untuk satu program nyanyian. Apa yang saya ingat, sepatutnya saya pulang ke Malaysia dengan menaiki pesawat MH370, Tetapi sebab ketika itu, saya rasa sangat penat.

“Jadi saya maklumkan kepada pengurus untuk tinggal di Beijing satu malam lagi. Kemudian pagi itu, saya tengok berita tentang kemalangan pesawat MH370.” dedah Shila dalam sesi audio siar tersebut.

Program audio siar ataupun ‘podcast’ Ubai Sentral yang bertajuk Kehidupan Sebenar di China di mana Shila hadir sebagai artis jemputan itu dimuat naik menerusi aplikasi Youtube.

Baca juga: Siap ‘survey’ rumah orang tua, Syafinaz Selamat tak terfikir soal kahwin