Shuib yakin bacaan Yaasin, doa berikan harapan semula kepada isterinya Siti Sarah

Oleh BORHAN AHMAD

Di saat harapannya seakan seperti sudah punah,  Allah terbitkan jalan keluar buat hati suaminya yang sedang kusut memikirkan realitinya Siti Sarah sedang bertarung nyawa akibat wabak maut, Covid-19.

Itulah perasaan pelawak Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 37, yang sedang menunggu isterinya, penyanyi Siti Sarah yang sedang berjuang melawan Covid-19 dalam ICU Hospital UKM (HUKM), lapor Utusan TV.

Beliau yakin, bacaan doa dan bacaan surah Yaasin memberikan harapan semula kepada nasib isteri beliau.

“Sekitar pukul 7.45 malam semalam, oksigen Sarah turun sehingga 69, waktu itu saya rasa macam sudah tiada nyawa…kemudian pukul 11.10 malam doktor telefon maklumkan keadaan Sarah sangat kritikal, oksigen turun sampai 40, lagilah saya tak tahu nak fikir dan buat apa.

“Tetapi apabila Allah memberikan rahmat-Nya kepada hamba yang memerlukan dan orang ramai yang mendoakan Sarah, buat solat hajat, bacaan yassin, maka berlaku keajaiban pada pukul 2 pagi apabila oksigen Sarah naik hingga 77,

“Dan kemudian, pukul 8 pagi, oksigen pergi ke paras 80 dan paling terkini setakat pukul 6 petang tadi (semalam), oksigen dah pergi 85.

“Satu keajaiban daripada Allah sebab berkat doa orang ramai termasuk yang membacakan yassin dan melakukan solat hajat untuk kesembuhan Sarah. Satu per satu, Allah permudahahkan urusan,” katanya sebagaimana dilaporkan media hiburan itu.

Bagaimanapun, Shuib turut memaklumkan bahawa isterinya harus terus berjuang kerana virus Covid-19 agak ‘ganas’ dan pada bila-bila masa, paras oksigen dalam badan boleh berubah.

“Cuma doktor beritahu, Covid-19 ini dia punya jahat apabila pergi paru-paru, ia bersifat dinamik. Boleh tinggi (oksigen), dan boleh juga turun serendah-rendahnya.

“Saya berharap Sarah boleh kekalkan perkembangan baik sekarang atau terus tinggi paras oksigennya. Dan, saya harap oksigen tak turun lagi,” ulasnya sebagaimana dilaporkan media itu.

Siti Sarah sebelum ini telah dibedah untuk mengelaurkan bayi yang dikandungnya.