Siap ada kompang! Pengantin India bersanding pakai adat Melayu demi tunai hasrat ibu

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan sepasang pengantin baharu yang berarak masuk ke dalam dewan untuk bersanding telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial tempatan baru-baru ini.

Mana tidaknya, pasangan yang manis berpakaian songket dipercayai berwarna kelabu berjalan masuk sambil diiringi dengan paluan kompang itu bukanlah pengantin Melayu sebaliknya suami isteri berbangsa India.

Berdasarkan rakaman berdurasi satu minit itu, kelihatan pengantin lelaki memakai baju Melayu songket lengkap dengan samping, tanjak dan keris termasuklah aksesori rantai di bahunya.

Pengantin perempuan juga tampil berseri dengan busana ‘dress’ songket moden bersama perhiasan di kepala dan memegang bunga tangan besi berwarna perak malah kedua-duanya turut dipayungkan dengan payung kuning.

Berdasarkan perkongsian di ruangan kapsyen yang ditulis kakak kepada mempelai perempuan, majlis bersanding menggunakan adat Melayu itu diadakan semata-mata untuk memenuhi hasrat ibu tersayang.

“Impian Amma (ibu) akhirnya menjadi kenyataan. Ibu nak sangat resepsi adik diadakan menggunakan adat Melayu. Jadi inilah hasilnya,” kata sang kakak menerusi hantaran video dimuat naik di platform TikTok itu.

@thamayanthi._

Amma’s dream finally came true ❤️ She wanted a malay style wedding reception for my sister. So here it is 🤍 #weddingreception #malay #malayweddingstyle respect👑 #satumalaysia @STEVENRAJ🔥 @Habibi Ipoh

♬ original sound – தமயந்தி இளங்கோவன் – தமயந்தி இளங்கோவன்

Pemilik akaun itu juga turut menyampaikan penghargaan istimewa kepada bapa dan adik iparnya kerana sudi untuk menunaikan hasrat ibunya yang akhirnya tercapai selepas 30 tahun diimpikan.

Menurutnya, ayah mereka memang sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak ibunya namun apabila adik ipar juga tidak keberatan untuk melaksanakan dengan sepenuh hati, ia menjadi cukup mengharukan.

Dalam hantaran seterusnya, sang kakak tampil memberi penjelasan bahawa adiknya sudah mengadakan majlis perkahwinan mengikut adat Hindu sebelum ini termasuk mengikat Thaali, memakai Saree dan Veshti.

Penjelasan dilakukan apabila segelintir pengguna media sosial bertindak meninggalkan komen negatif mengenai majlis persandingan yang hanya diadakan selepas acara perkahwinan untuk memenuhi impian ibu mereka.

“Beberapa komen yang ditinggalkan benar-benar telah menyakitkan hati, terutamanya datang daripada komuniti kita sendiri. Untuk makluman semua, majlis perkahwinan mengikut budaya Hindu sudah dilakukan sebelum ini.

“Kami mohon agar anda tidak menggunakan kata-kata kasar atau komen negatif. Sila ingat, perkara negatif yang anda sebarkan mencerminkan didikan anda. Sungguh memalukan apabila ada yang tidak belajar sikap menghormati.” Kesalnya.

Baca juga: “Saya tak kisah orang cakap pasal saya” – Fattah Amin terkilan fitnah jejaskan keluarga, anak