Kini semakin banyak masalah timbul melibatkan anggota polis diluar waktu bertugas, pelbagai kesalahan dilakukan.
Ketua balai polis dan dua anggotanya ditahan selepas didapati berhibur di sebuah pusat hiburan di Taman Dutamas, Cheras.
Menerusi satu kenyataan media ketiga-tiga mereka yang berusia antara 37 hingga 57 tahun itu bertugas dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Kesemua anggota terlibat ditukarkan serta-merta ke Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sementara menunggu hasil siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata tiga anggota polis terbabit adalah antara 14 individu yang ditahan dalam serbuan polis di pusat hiburan itu.
“Hasil pemeriksaan dan ujian saringan air kencing mendapati 14 orang ditahan itu positif dadah termasuk tiga anggota polis.
“Mereka ditahan reman dua hari hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut sumber, serbuan dijalankan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor selepas menerima maklumat.
Hussein berkata, satu siasatan tatatertib juga akan menyusul untuk tindakan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pegawai dan anggota dilarang berada di pusat hiburan kecuali atas urusan tugas.
“Tindakan tegas termasuk pertuduhan jenayah akan diambil ke atas mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar arahan termasuk terbabit penyalahgunaan dadah,” katanya.
Baca juga: Cik Epal bertegas enggan keluar kenyataan mengenai rumah tangga, rupanya ini puncanya