Singgah makan tengah hari di Langkawi naik helikopter, tak sangka ini pemiliknya

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan beberapa pelanggan yang mengunjungi sebuah restoran di Langkawi dengan menaiki helikopter telah mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Berjaya mengundang perbincangan hangat, timbul persoalan di kalangan pengguna media sosial mengenai identiti pelanggan dan pemilik pengangkutan udara tersebut.

Persoalan itu akhirnya terjawab apabila pemilik bersama helikopter terbabit akhirnya tampil dengan berkongsi video perjalanannya ke restoran tersebut di laman TikTok.

“Cari makanan sedap di Dangau Langkawi,” kongsi pemilik akaun TikTok Mr HeliBro yang memiliki lebih daripada 50,000 pengikut itu di platform media sosial berkenaan.

Menerusi tinjauan di ruangan komen, Mr HeliBro mengakui helikopter tersebut adalah miliknya yang dikongsi bersama rakannya khusus untuk kegunaan peribadi sahaja.

Mr HeliBro merupakan seorang juruterbang helikopter berumur 50 tahun yang turut bergelar personaliti media sosial berikutan aktif berkongsi video di aplikasi TikTok.

Antara perkongsian dilakukan Mr HeliBro kepada pengikutnya adalah ilmu berhubung pengendalian pesawat ringan dan juga pengetahuan asas mengenai penerbangan.

Enggan mendedahkan identitinya, lelaki itu difahamkan mula meminati kapal terbang sejak kecil ketika dibesarkan di Kem Mahkota, Kluang, Johor kerana mengikuti arwah bapanya yang merupakan seorang tentera darat.

Terdahulu, seorang pemilik restoran yang terletak di Langkawi berkongsi sebuah rakaman memaparkan ketibaan pelanggannya yang menaiki helikopter jenis Airbus AS365N.

Mengakui terkejut, pemilik restoran menyangka panggilan telefon memaklumkan ada pelanggan mahu makan tengah hari menaiki helikopter hanyalah sekadar gurauan.

“Terkejut dapat panggilan, nak makan tengah hari di Dangau tetapi datang menaiki helikopter. Mula-mula saya ingat ada kawan melawak. Tetapi pemanggil cakap, dalam 15 minit lagi sampai.

“Selepas itu dengar bunyi helikopter semakin dekat dan rendah. Tudiaa, nampak heli. Terima kasih singgah makan.” Kata pemilik restoran berkenaan dalam satu hantaran di laman Facebook.

Baca juga: Nampak lain Iqram Dinzly sekarang, rupanya dah jadi orang Singapura dan ini pekerjaan barunya