SPR bermesyuarat 24 November, bincang tarikh PRN12 Sarawak

Oleh KIM SYAZIE

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia akan mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-12, pada 24 November nanti.

Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusi Datuk Abdul Ghani Salleh selaku Pengerusi SPR, maklum Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak.

“Mesyuarat akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain persiapan-persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 3 November lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan proklamasi darurat di Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lalu.

Ini sekaligus akan memberi laluan kepada pilihan raya negeri untuk diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh darurat ditamatkan.

DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu selepas cukup lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.