SPRM panggil enam pihak berhubung siasatan kecurian REE di Kedah

Oleh MALAYSIADATELINE

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil enam pihak bagi membantu siasatan berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka yang dipanggil itu kerana siasatan sedang dijalankan.

“Ketika maklumat diterima berhubung kes itu, SPRM memang telah memulakan siasatan awal terlebih dahulu. SPRM telah membuat tindakan awal dengan menjalankan temu bual bersama lima hingga enam pihak bagi membantu siasatan berhubung REE ini.

“Buat masa ini, hasilnya masih belum dapat dimaklumkan lagi dan tiada keputusan atau cadangan yang boleh diberikan kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan kes kecurian REE di hutan simpan itu.

Beliau berkata Jawatankuasa Pemantauan REE Negeri Kedah juga telah mengadakan satu mesyuarat pada minggu lalu bagi membincangkan perkara berkaitan REE dan maklum balas daripada setiap agensi yang mungkin terlibat dalam urusan itu akan diperoleh pada 20 Feb depan.

“Apabila timbul isu REE ini, SPRM telah mencadangkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan (SUK) untuk mengaktifkan jawatankuasa itu bersama Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITU) dengan memanggil pihak agensi yang berkenaan untuk tindakan dan perbincangan.

Baca Artikel Penuh