SPRM rampas barangan mewah, alatan kasino dalam kediaman Tan Sri bernilai RM16 juta

Oleh MALAYSIADATELINE

Orang ramai pasti sudah maklum tentang siasatan penyelewengan dana sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Dalam siasatan itu juga, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui sebuah stor yang menyimpan pelbagai jenis arak di salah satu kediaman milik seorang individu bergelar Tan Sri.

Terbaru, SPRM telah menyita barangan mewah dianggarkan bernilai kira-kira RM16 juta, termasuk jongkong emas, berlian serta alatan kasino lapor Berita Harian.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik SPRM semalam, sitaan itu dilakukan selepas satu penggeledahan dijalankan di kediaman milik seorang individu bergelar Tan Sri di Bandar Tasik Selatan, Cheras, semalam.

Antara barangan yang disita termasuk 84 beg tangan mewah dianggarkan bernilai RM3 juta, 11 unit jam tangan berjenama bernilai sekitar RM1 juta serta jongkong, syiling dan patung emas dengan anggaran nilai kira-kira RM3 juta.

“Selain itu, berlian dan barangan kemas bernilai kira-kira RM4 juta dan satu set alatan kasino berjenama mewah yang dianggarkan bernilai RM150,000 turut disita.

“SPRM turut menemui sebuah bilik rahsia kebal yang menjadi tempat simpanan senjata dan peluru.

“Namun tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Dalam kenyataan tersebut, SPRM menggunakan bantuan anggota pasukan taktikal Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) dalam proses merakam keterangan Tan Sri terbabit.

Ini adalah selepas pihak berkuasa mengesyaki wujud bilik rahsia menyimpan senjata di kediaman berkenaan.

“SPRM mendapat maklumat terdapat bilik rahsia yang menyimpan barang berharga termasuk senjata yang berkaitan dengan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di kediaman individu ini.

“Kehadiran pasukan ACTS adalah bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang-barang yang disita bagi dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan keseluruhan penggeledahan dan sitaan malam semalam berjumlah kira-kira RM16 juta.

Baca juga: Kecoh SPRM bongkar penemuan stor simpanan arak mewah di kediaman milik Tan Sri