“Suami insaf lepas kantoi terus putuskan hubungan, tapi si penyondol tetap mesej, padahal dia dah kahwin..”

Oleh MAISARAH AISYA

Walaupun hanya sekali dicurangi pastinya ia akan tetap mewujudkan satu perasaan waswas dalam diri pasangan.

Bukan tidak percaya setiap insan boleh berubah, tapi jika sekali hati disakiti pastinya akan lebih berhati-hati dalam mempercayai.

Seorang wanita tidak menyangka suami yang baik boleh kantoi curang dengan rakan sekerja berstatus isteri orang.

Di bawah adalah luahan tersebut

Aku seorang isteri, bekerja, dan ibu kepada empat orang anak. Suamiku bekerja dalam bidang yang sama denganku cuma lain tempat kerja.

Pengenalan mengenai suamiku, dia seorang lelaki yang sangat baik di mataku, solat lima waktu, selalu berjemaah, selalu mengaji al-quran, tidak merokok.

Sangat bertanggungjawab dengan hal-hal rumahtangga, sangat menjaga kebajikan isteri dan anak- anak.

Sepanjang perkahwinan kami yang bahagia ini, alhamdulillah suamiku tidak pernah melakukan kesalahan.

Jika ada pun kesalahan kecil sahaja dan dia selalu tersenyum, tidak pernah meninggikan suara kepadaku.

Selalu menegur dengan penuh hikmah, lemah lembut dan sangat berhati-hati menutur kata.

Suami kantoi mesej perempuan lain

Pada awal tahun ini, dengan takdir Allah, suamiku telah terkantoi melakukan satu kesalahan yang bagi aku besar untuk perkahwinan kami.

Dia telah menjalinkan hubungan dengan rakan sekerjanya selama 2 bulan yang juga isteri orang, tetapi masih belum ada anak.

Hubungan mereka di whatsapp dan ada bersentuhan kulit selama beberapa kali cuma tidak sampai kepada zina.

Saat semua itu kantoi, aku jatuh terduduk dan menangis sebab aku tidak percaya suamiku akan lakukan hal sebegitu. Dia seorang yang sangat menjaga hal agama.

Suamiku juga menangis, dia memohon ampun dan berjanji akan betulkan semua.

Aku bertindak berjumpa bos mereka dan memandangkan prestasi kerja, si perempuan akan ditukarkan segera ke tempat lain.

Manakala suamiku pula akan kekal di tempat yang sama. Aku menyimpan semua bukti-bukti untuk kegunaan akan datang jika perlu.

Untuk pengetahuan semua, perempuan itu juga ada menghantar gambar tidak memakai tudung kepada suamiku walaupun tidak diminta.

Suami kesal dan berubah

Perubahan pada suamiku, semenjak kejadian itu, dia telah memadamkan contact perempuan tersebut dan setiap hari aku akan bangun malam dan melihat dia solat taubat di rumah kami.

Setiap malam dia bangun untuk solat taubat dan hajat. Dia juga berusaha mengambil semula hatiku yang sudah remuk ini.

Dia berulangkali memohon ampun atas kesalahan dan dosa yang dilakukan dan juga telah berikrar dengan nama Allah.

Bahawa dia tidak akan lagi melakukan apa-apa perbuatan maksiat, tidak akan membelakangkan Allah, dan akan menjaga rumahtangga kami sehingga akhir hayatnya.

Aku memaafkan suamiku walaupun berat dan sakitnya hati ini hanya Allah yang tahu.

Perempuan tersebut masih menghubungi suamiku dan suami akan screenshot dan hantar padaku.

Perempuan itu juga menghubungi aku dan menyatakan dia sukakan suamiku kerana jauh beza dengan perwatakan suaminya.

Suamiku berkali-kali bertegas denganku bahawa dia tidak mahu ambil tahu lagi tentang perempuan itu dan telah membuang semuanya tentang dia.

Sekarang, walaupun aku telah memaafkan suami, tetapi seringkali bayangan peristiwa itu datang dan aku akan kembali bersedih.

Dan suami akan berkali-kali terus memujuk aku dan menyatakan keinsafan dia dan aku sedang mencuba untuk memberikan semula kepercayaan kepada dia.

Baca juga: Raih 2.3 juta tontonan, video peniaga tembikai agih buah kepada pengguna jalan raya dipuji ramai