Betapa hancurnya hati seorang wanita apabila diceraikan oleh suami tercinta ketika sedang sarat mengandungkan zuriat yang menjadi bukti bahawa rumah tangga mereka pernah dilimpahi kasih sayang suatu ketika dahulu.
Lebih memburukkan keadaan, lelaki itu juga tergamak meninggalkan isterinya dalam keadaan ‘terkapai-kapai’ dengan bersikap lepas tangan terutamanya berhubung tanggungjawab sebagai seorang ayah.
Perkara itu didedahkan oleh wanita berkenaan dalam satu sesi luahan hati susulan menghubungi stesen radio Kool 101 yang mana rakaman ketika panggilan tersebut dibuat turut dimuat naik di platform TikTok.
Menurut pemanggil itu, bekas suaminya juga langsung tidak berusaha untuk berhubung atau bertemu dengan anaknya sendiri sehinggalah lelaki berkenaan meninggal dunia sewaktu cahaya matanya berusia 12 tahun.
Tindakan bekas suaminya membuatkan wanita itu masih tidak dapat melupakan kejadian yang telah berlaku walau sudah lama ia berlalu malah lelaki terbabit juga sudah tiada di dalam dunia ini.
“Kami bercerai semasa anak itu masih lagi berada dalam kandungan. Kami tak dapat nak terus uruskan penceraian ketika itu sebab saya masih mengandung. Tetapi saya ada menuntut nafkah anak di luar mahkamah.
“Tetapi dia tak nak (tunaikan) mungkin sebab berdendam dengan saya. Sedangkan penceraian itu berpunca dari kesilapan dia. Mungkin juga ada hasutan dari keluarganya. Namun mengapa pula anak yang jadi mangsa.
“Sebenarnya bekas suami saya sudah meninggal dunia. Tetapi sebelum itu, dia tak pernah cari anak dia mahupun sekadar bertanya khabar,” kesal wanita terbabit di dalam rakaman berdurasi satu minit 34 saat itu.
Dalam perkongsian sama, wanita dikenali sebagai Linda itu mengakui sudah memaafkan namun belum terbuka hati dan tidak mampu menghalalkan hutang nafkah anak yang tidak ditunaikan oleh arwah bekas suaminya.
Wanita itu juga sempat mengenangkan nasibnya yang terpaksa mencari pekerjaan sebaik habis tempoh berpantang untuk menyediakan keperluan anak dan menampung kehidupan mereka.
“Selepas bercerai itu, saya terkontang-kanting mencari kerja. Selepas habis pantang, saya kena kerja untuk diri dan anak. Saya maafkan perbuatan dia. Tetapi sampai sekarang saya tak boleh nak halalkan hutang nafkah anak.
“Pintu hati saya belum terbuka. Tidak berdendam tetapi berat untuk saya halalkan. Lebih-lebih lagi ketika terpandang anak, saya jadi geram balik.” Ujarnya lagi dalam perkongsian itu.
Pihak stesen radio menjelaskan bahawa perkongsian itu dibuat sebagai peringatan untuk semua ayah bahawa nafkah bukan sekadar kewajipan undang-undang namun bukti kasih sayang dan tanggungjawab yang nyata.
Baca juga: “Saya manusia biasa, bukan robot” – Qasrina akui terkesan fizikal jadi bahan kecaman